Ayer Keroh: Seorang juruteknik syarikat kejuruteraan swasta dipenjara 14 hari dan denda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, apabila mengaku bersalah gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin selepas pulang dari Kota Kinabalu, Sabah pada 29 September lalu.

Tertuduh, Md Syafrizan Salleh, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak berusia 11 bulan dan lima tahun itu didakwa atas kesalahan tidak mematuhi perintah sah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dengan tidak melakukan kuarantin kendiri seperti diarahkan.

Berdasarkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Md Syafrizan dalam pengakuannya memohon maaf kerana ‘terlepas pandang’ mengenai peraturan baharu dikuatkuasakan itu.

Bagaimanapun, Muhammad Nazrin dalam penghakimannya berkata, tertuduh tidak mempunyai alasan kukuh untuk melanggar perintah dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan Nora Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam pelatih Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Koh Kok Tian.

Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat kejuruteraan di Sungai Udang yang mendakwa seorang daripada pekerja lelaki pergi ke Kota Kinabalu, Sabah pada 26 September lalu untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bagaimanapun, enam hari kemudian pekerja terbabit tidak mematuhi SOP iaitu Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari sebagaimana arahan dikeluarkan kerajaan.

Hasil siasatan mendapati, pekerja itu yang masih memakai gelang berwarna merah jambu hadir bekerja di syarikat terbabit serta membeli barang keperluan dalam tempoh kuarantin bermula 28 September hingga 11 Oktober.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 2:01 PM
Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here