SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor berjaya menghalang pencemaran Sungai Selangor berulang sekali lagi dalam tempoh kurang seminggu apabila dapat mengesan empat kawasan yang berpotensi boleh menjejaskan sumber air mentah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pencemaran itu berjaya dihalang menerusi pemantauan berterusan dan tindakan pantas yang dilakukan oleh pegawai serta anggota yang ditempatkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Selepas pertambahan anggota pemantauan lembangan sungai dilakukan, kita mengesan empat potensi pencemaran yang berjaya dihalang dalam tempoh kurang seminggu sebelum ia mengalir ke sungai utama.

“Paling terbaharu adalah semalam, yang mana tumpahan seperti minyak hitam dikesan di Kampung Baru Balakong. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan oleh pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor, tiada kesan daripada kilang atau bengkel berdekatan.

“Perkara sama berlaku tiga hari lalu di Sungai Kundang, justeru kita bimbang jika ia tindakan yang disengajakan, namun saya tiada bukti dan tidak berani untuk katakan sebegitu,” katanya kepada pemberita di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menyeru semua pihak, tidak melakukan tindakan mencemarkan sungai kerana ia membabitkan ratusan ribu akaun dan jutaan penduduk yang terpaksa menderita akibat gangguan bekalan air.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here