KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentang kerajaan pada 6 November secara dasarnya adalah untuk pembangunan rakyat dan negara yang umumnya terjejas ekoran penularan COVID-19 dan bukan untuk kelangsungan sesebuah parti politik, demikian mengikut ahli ekonomi, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) berkata, dalam situasi krisis kesihatan semasa yang belum pernah berlaku, ditambah dengan ketidakstabilan politik dalam negara, maka Belanjawan 2021 akan menjadi penanda aras baharu.

Justeru, sokongan untuk belanjawan ini penting kerana tanpa peruntukan, kerajaan tidak dapat meneruskan perbelanjaan yang ketika ini sangat diperlukan bagi pemulihan ekonomi dan kebajikan awam.

Pertelagahan politik katanya, tidak harus mengganggu kestabilan rakyat dan menaruh kepercayaan terhadap kebijaksanaan semua Ahli Parlimen dalam membuat tindakan yang wajar.

“Peruntukan untuk perbelanjaan demi rakyat perlu disokong tanpa ada permainan politik. Dalam belanjawan ini, ia merangkumi perbelanjaan pembangunan (DE) dan perbelanjaan mengurus (OE).

“Bukan satu faktor sahaja terbabit, tetapi banyak sektor dan perkara. Malah, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan (sekadar anggapan), kerajaan baru yang memerintah juga masih memerlukan peruntukan perbelanjaan.

“Ini adalah peraturan kewangan negara, bukan dibuat sesuka hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, secara teorinya dengan mengambil kira situasi ekonomi ketika ini, Belanjawan 2021 perlu mempunyai keseimbangan antara perbelanjaan pembangunan dan mengurus.

Beliau berkata, OE lebih kepada perbelanjaan jangka masa pendek seperti keperluan penambahan pekerja sektor kesihatan, pembelian barangan kesihatan dan peruntukan vaksin.

Bagi DE pula katanya, ia perancangan jangka masa sederhana dan panjang seperti pembinaan infrastruktur dan jalinan perhubungan yang manfaatnya diperoleh lebih daripada setahun.

Malah dalam keadaan ekonomi yang terjejas ketika ini katanya, semua sektor turut berhadapan dengan penurunan perbelanjaan seperti isi rumah, sektor swasta, pelaburan dan eksport.

“Sebab itu, perbelanjaan yang tinggal hanya perbelanjaan kerajaan. Jadi perbelanjaan kerajaan perlu ada untuk menggandakan nilai serta merancakkan ekonomi.

“Lantaran itu perhatian sebenarnya harus diberikan kepada perbelanjaan yang boleh mencetuskan pemulihan ekonomi.

“Peruntukan kali ini juga perlu lebih bersasar, tidak lagi merangkumi semua, hanya tertentu kepada golongan atau sektor perlu.

“Dengan cara itu, ia tidak akan memberi tekanan kepada belanjawan kerana kewangan negara kini berada dalam kekangan,” katanya.

Noor Azlan berkata, semua pihak juga harus memahami peningkatan hutang negara ketika ini RM854.1 bilion atau 59 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kerana keperluan mendesak dalam menangani COVID-19.

Beliau berkata, Belanjawan 2020 hanya memperuntukkan RM297 bilion, tetapi disebabkan pandemik itu, kerajaan terpaksa melaksanakan pakej rangsangan yang melebihi RM260 bilion.

Ini katanya, seolah-olah perbelanjaan untuk dua tahun, tetapi ia terpaksa dilaksanakan demi pemulihan ekonomi negara dan rakyat.

“Lantaran itu, kewangan negara dalam tekanan. Jadi jangan tambah tekanan dengan pergolakan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here