Saya sedia buat laporan SPRM – Salahuddin

0
341

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahannya mengenai syarikat kartel daging sebelum ini.

Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), berkata pihaknya sedia memberikan kerjasama kepada SPRM kerana ia membabitkan isu serius.

“Saya tidak kisah untuk membuat laporan dan akan pergi ke SPRM, tiada masalah mengenainya, mungkin minggu depan (buat laporan) selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ini menunjukkan saya memandang serius berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Salahuddin yang pernah ‘memimpin’ MOA selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada Mei 2018, mendedahkan beliau pernah ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh individu dipercayai mewakili kartel daging import ketika baru beberapa bulan dilantik ke jawatan berkenaan.

Beliau mendakwa didatangi wakil syarikat kartel di pejabat yang menawarkan percutian kelas pertama di Eropah, namun menolak tawaran terbabit.

Difahamkan, tindakan kartel itu dipercayai bagi memastikan syarikat mereka menjadi ‘pilihan’ utama kementerian untuk urusan membawa masuk bekalan daging sejuk beku ke negara ini.

Pada masa sama, Salahuddin berkata, pihaknya menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengesyorkan segera penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kartel daging ini.

Beliau berkata, pihaknya sendiri sedia bekerjasama melalui RCI itu kerana ia penting berikutan membabitkan kepentingan pengguna khususnya umat Islam di negara ini.

“Sepatutnya apabila isu ini dilaporkan dan menjadi pengetahuan umum kerana ia membabitkan kepentingan rakyat dan isu halal, jadi perlu ada RCI.

“Perkara ini bukan kecil bagi saya kerana ia membabitkan keselamatan makanan di negara ini, justeru saya akan terus menggesa supaya RCI ditubuhkan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here