Tinggalkan teman wanita selepas rempuh polis

0
235

BEAUFORT: Seorang lelaki bukan saja sanggup meninggalkan teman wanitanya, malah nekad merempuh anggota polis dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Lumatai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort berkenaan mengalami luka di tangan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata kejadian berlaku ketika anggotanya sedang menjalankan tugas Op Motosikal.

Katanya, sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita datang dari arah jambatan baharu Kampung Lumatai diarah berhenti untuk pemeriksaan.

“Secara tiba-tiba, penunggang motosikal itu memecut laju lalu melanggar anggota polis yang berada di tengah jalan menyebabkannya jatuh terlentang di atas jalan raya.

“Motosikal bersama penunggang dan pembonceng turut terjatuh, bagaimanapun lelaki itu melarikan diri ke kawasan semak di tepi jalan meninggalkan teman wanitanya berusia 21 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, suspek berusia 23 tahun berjaya ditahan jam 9 malam tadi di Jalan Kompleks Sukan Beaufort selepas gerakan memburunya dijalankan.

“Akibat kejadian itu, anggota polis berkenaan luka di tangan dan mengalami kesakitan di bahagian belakang badan, pinggul dan kaki.

“Siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan curi kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dengan melanggar anggota polis yang menjalankan tugas ketika itu,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here