Suntik rakyat Malaysia dulu baru pekerja asing: MTUC

0
189

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengutamakan pengagihan bekalan vaksin Covid-19 kepada 26.5 juta rakyat tempatan berbanding jutaan warga asing yang berada di Malaysia pada masa ini.

Berdasarkan rekod Statistik Tenaga Buruh (STB) bagi tahun 2019, jumlah pekerja asing bukan warganegara lebih 2.3 juta orang, belum dikira warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan menyediakan bekalan vaksin percuma kepada warga asing bagi membendung sepenuhnya penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berharap kebajikan rakyat tempatan tidak dianaktirikan hanya disebabkan golongan bukan warganegara terutama pekerja asing amat diperlukan bagi mengukuhkan sektor ekonomi.

“Kita tidak nafikan keperluan vaksin Covid-19 diedarkan secara percuma kepada warga asing terutama mereka yang bekerja di sektor kritikal seperti perkilangan dan pembinaan.

“Tambahan pula, kebanyakan kluster penularan Covid-19 yang wujud di negara ini adalah berpunca daripada golongan pekerja asing yang baru memasuki negara ini.

“Bagaimanapun, MTUC memohon kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat tempatan dengan memastikan mereka menerima bekalan itu terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAVMY) memaklumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan melibatkan pemberian secara percuma kepada semua golongan bukan warganegara Malaysia yang menetap di negara ini.

Selain itu, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin menegaskan Kabinet secara prinsipal bersetuju memberikan vaksin percuma kepada warga asing di negara ini termasuk yang tidak mempunyai dokumen sah.

Sumber:Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here