Polis tahan pengasas ‘Sugarbook’

0
170

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengasas laman sesawang dan aplikasi temu janji ‘Sugarbook’

Suspek berusia 43 tahun dan berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan ibu negara, menerusi Op Sugarbook kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan, berkata permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Shah Alam.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook.

“Siasatan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata, siasatan ke atas suspek juga dijalankan mengikut Seksyen 372(1)(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Media melaporkan Sugarbook sebagai platform mencari teman di antara wanita muda atau ‘sugar baby’dengan lelaki berusia dan berharta atau ‘sugar daddy’ menimbulkan kontroversi.

Malaysia dilapor berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia, selepas India dan Indonesia, bagi negara mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Selain itu, Sugarbook turut mendedahkan ia mempunyai lebih 400,000 keahlian dengan 220,000 daripadanya ‘sugar baby’, 180,000 ‘sugar daddy’ dan 6,000 ‘sugar mummy’ di Malaysia.

Aplikasi berkenaan menyatakan kebanyakan ‘sugar baby’ dari Malaysia terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan.

Laman sesawang Sugarbook tidak boleh diakses sejak kelmarin, dipercayai selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima desakan daripada pelbagai pihak untuk menyekat laman sesawang berkenaan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here