26 bubu naga dirampas

0
160

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, merampas 26 set bubu naga (bubu kambang) yang diharamkan penggunaannya oleh Jabatan Perikanan Malaysia di dua lokasi berbeza di Kuala Perlis, di sini, semalam.

Operasi dilakukan pada jam 6.50 petang dan 8 malam di kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika daripada barat daya muara Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing, berkata pemasangan bubu haram ini dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut di perairan negeri Perlis.

“Bubu berkenaan dipasang melalui pancang kayu yang mencurigakan di permukaan perairan itu.

“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu itu adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, penggunaan bubu naga boleh menyebabkan anak ikan dan udang memasuki ke perangkap jaring berkenaan, sekali gus menjejaskan biodiversiti marin dan mengakibatkan hasil laut berkurangan.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM3,000 dan kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya.

Untuk rekod, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis sudah membuat pelupusan sebanyak 237 set bubu naga dianggarkan bernilai RM22,080 sepanjang tahun lalu di mana rampasan berkenaan membabitkan kes yang berlaku di perairan Perlis.

Penangkapan ikan menggunakan bubu naga diharamkan kerajaan mulai 1 November 2018.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here