300 keluarga terima sumbangan Tahun Baharu Cina

0
71

KOTA KINABALU: Seramai 300 keluarga kurang mampu dan berpendapatan rendah di Sabah menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Yayasan PETRONAS sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut esok.

Pada tahun ini, sumbangan itu diagihkan di empat daerah iaitu Kuala Penyu, Kudat, Tenom dan Tambunan dengan seramai 75 orang penerima dari setiap daerah.

Sumbangan berupa bekalan makanan dan barangan penjagaan diri itu diagihkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semalam, Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman menyerahkan sumbangan Yayasan PETRONAS itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuala Penyu.

Selain di negeri ini, Yayasan PETRONAS turut mengagihkan sumbangan yang sama di Labuan dengan seramai 150 orang penerima bakal menerima barangan keperluan asas pada hari ini.

Secara keseluruhan, Yayasan PETRONAS membelanjakan RM434,500 untuk mengagihkan sumbangan kepada seramai 3,950 keluarga berpendapatan rendah dan rumah kebajikan di seluruh negara.

Sumbangan yang turut disasarkan untuk kanak-kanak dan warga tua itu adalah sebahagian daripada program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan Yayasan PETRONAS.

Selain di Sabah dan Labuan, Yayasan PETRONAS turut mengagihkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik di Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Terengganu, Sarawak dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Nelly Francis Shariah, berkata sumbangan berkenaan adalah sebahagian usaha PETRONAS untuk menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina dalam suasana norm baharu.

“Kita mahu menceriakan suasana, terutama dalam keadaan beberapa tradisi sambutan Tahun Baharu Cina seperti Tarian Singa dan berkumpul bersama keluarga dilarang.

“Kita komited untuk membantu golongan kurang bernasib baik ketika musim perayaan ini dengan barangan keperluan yang kita harap dapat menceriakan mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here