30,000 pekerja asing didaftar program rekalibrasi

0
98

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenalpasti seramai 30,000 pekerja asing tanpa izin di negara ini, untuk didaftar menerusi Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata langkah itu bagi memastikan kesihatan mereka dapat disaring demi membendung penularan COVID-19 di tempat kerja termasuk tersebar dalam komuniti.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan sesiapa sahaja termasuk pekerja asing tanpa izin atau yang memiliki dokumen dalam keadaan selamat.

“Mengikut data seramai 1.7 juta pekerja asing berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Sehingga hari ini lebih sejuta sudah menjalani saringan.

“Mengambil kira PATI, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) sedang mengkaji bagaimana kita boleh mengatasi supaya mereka turut diberi melalui program rekalibrasi.

“Kita mengenalpasti 30,000 pekerja asing tanpa izin. Kita sedang mengkaji bagi memastikan yang lain turut diberi vaksin atau saringan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan koperasi, hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pengenalan program rekalibrasi bertujuan membantu majikan yang berdepan masalah untuk mendaftar pekerja asing yang tidak sah.

Beliau menjelaskan pekerja asing berkenaan masuk ke negara ini bukan tanpa dokumen sebaliknya menghadapi masalah dengan majikan dari segi permit.

“Ia bukan tidak mempunyai dokumen, pelik sikit sebab mereka ini masuk ke negara ini dan bila syarikat gulung tikar tak boleh balik, seterusnya jadi PATI.

“Kita sedang buat program rekalibrasi. Kalau sah dia memang jadi PATI sebab majikan gulung tikar, kita benarkan melalui program rekalibrasi,” katanya.

Mengenai saringan COVID-19 di tempat kerja, Saravanan berkata kerajaan memberi ruang untuk majikan melaksanakan tindakan itu sehingga hujung bulan ini.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi arahan berkenaan.

“Mengikut data, sebanyak 1.7 juta pekerja asing mendaftar dengan PERKESO. Sehingga hari ini, lebih sejuta menjalani saringan. Sepatutnya saringan COVID-19 di tempat kerja hanya untuk enam negeri dan negeri zon merah sehingga 28 Februari lalu.

“Selepas kita melihat keberkesanan baru-baru ini, kerajaan, MKN (Majlis Keselamatan Negara) meluluskan saringan seluruh negara. Kita beri ruang sehingga hujung bulan ini dan selepas itu kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here