4 ditahan palsu dokumen tukar hak milik kenderaan

0
223

Seremban: Polis Negeri Sembilan menahan tiga lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan dokumen kerajaan bagi membuat urusan pertukaran hak milik kenderaan pemilik asal yang sudah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman berkata, keempat-empat individu yang berusia antara 34 hingga 38 tahun itu ditahan pada 30 September dan semalam.

Katanya, penahanan keempat-empat individu berkenaan susulan dua laporan diterima berhubung kes berkenaan setakat ini.

“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membuka dua kertas siasatan membabitkan kes menggunakan dokumen kerajaan yang dipalsukan bagi tujuan urusan pertukaran hak milik kenderaan yang pemilik asalnya sudah meninggal dunia.

“Laporan pertama diterima pada 29 September daripada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seremban, manakala satu lagi laporan dibuat pegawai JPJ Kuala Pilah.

“Dua kertas siasatan dibuka masing-masing JSJK di Seremban dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kuala Pilah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, siasatan awal mendapati petugas kaunter JPJ menerima dokumen untuk urusan pertukaran hak milik yang mana pemilik berdaftar berstatus meninggal dunia.

Beliau berkata, suspek melampirkan borang yang lengkap diisi iaitu Borang JPJK3A (PIND.1/2014), salinan kad pengenalan lelaki yang hadir membuat urusan; salinan sijil kematian pemilik kenderaan dan Borang E Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995 dari Pejabat Tanah dan Galian Daerah Melaka Tengah, Melaka.

Menurutnya, urusan berjalan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan tukar hak milik pelesenan kenderaan JPJ dan urusan urus niaga berjaya.

“Hasil semakan semula terhadap dokumen yang diserahkan itu, mengesyaki dokumen berkenaan adalah palsu,” katanya.

Katanya, ekoran itu, polis menangkap empat individu dengan tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 38 tahun berasal dari Melaka ketika dia berurusan di JPJ Seremban, pada 30 September lalu.

Che Zakaria berkata, tangkapan individu kedua dan ketiga juga pada hari sama membabitkan lelaki dan wanita masing-masing berusia 34 tahun dari Jalan Sungai Alai Melaka, manakala suspek keempat yang juga abang kepada suspek kedua ditahan di alamat sama semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kediaman mereka menemui 140 geran kereta pelbagai nombor, 32 nombor pendaftaran kenderaan pelbagai nombor, tujuh bentuk cop timbul, 10 keping Borang E JKPTG, buku resit tunai, baucer bayaran, satu bundle kertas kuning dan satu kotak mengandungi pelbagai dokumen.

“Selain itu, sebuah kereta nombor pendaftaran MAP 75, dua unit komputer riba, satu telefon bimbit, satu kotak pelbagai dokumen dan tujuh lesen kenderaan motor (dalam kereta MAP 75).

“Menerusi pemeriksaan kali kedua di rumah sama semalam, polis menemui 14 motosikal, 33 cop pelbagai negeri dan tiga stamp pad.

“Kesemua kenderaan dan barangan berkenaan dirampas,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang bekerjasama dengan JPJ Negeri Sembilan bagi mengesan jumlah sebenar urusan tukar hak milik berkenaan yang dibuat dengan menggunakan dokumen palsu.

“Kami juga akan menjalankan siasatan lanjut berkemungkinan ada membabitkan transaksi di negeri lain berdasarkan rampasan cop timbul serta cop jabatan lain.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan individu atau sindiket lain,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here