4 PATI cuba seludup keluar naik sampan ditahan

0
216

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar empat pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki sampan, ketika melakukan rondaan laut di perairan Pontian, dekat sini, Sabtu lalu.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad, berkata ia hasil operasi Unit Marin, Bahagian Penguatkuasaan, Sungai Pulai, JKDM Johor.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah bot kayu mencurigakan, empat warga asing iaitu tiga lelaki dan satu wanita yang disyaki PATI, ditahan.

“Semua PATI berusia di antara 24 hingga 46 tahun itu ditahan bagi siasatan lanjut kerana tidak mempunyai pas atau permit sah tinggal di Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga lelaki warga asing itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah apabila diminta, manakala seorang wanita mempunyai pasport.

“Mereka dipercayai cuba keluar dari Malaysia melalui laluan tidak sah untuk pulang ke negara asal dengan menggunakan jalan laut tanpa dokumen atau permit perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sazali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) kerana mengangkut migran yang diseludup dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

“Semua mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

“Orang ramai juga diminta membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“Kita juga meminta orang awam bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here