48 tual balak curi ditemui dalam Hutan Simpan Jengka

0
272

TEMERLOH: Pejabat Hutan Daerah (PHD) mematahkan cubaan memindahkan 48 tual balak spesies keruin, meranti dan balau bernilai lebih RM387,000 yang tebang secara haram di Kompatmen 19 Hutan Simpan Jengka, di sini semalam.

Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman, berkata kawasan itu yang dipercayai masih baru diceroboh dikesan hasil risikan diketuai Pengawas Hutan Mazrul Safpuan Mat Remli bersama tujuh anggota Pejabat Renjer Hutan Jempol, di sini.

Katanya, kegiatan menebang balak spesies berkualiti tinggi itu dipercayai didalangi beberapa individu berpengalaman.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui sebuah jengkaut yang digunakan untuk membuat jalan tarik, menyusun dan mangangkat balak yang ditebang.

Turut ditemui, tiga motosikal milik ahli sindiket terbabit.

“Balak yang ditebang, dikumpul di beberapa tempat dalam kawasan terbabit sebelum dipindahkan menggunakan lori balak pada waktu Subuh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati lima hingga tujuh individu tempatan itu menceroboh Hutan Simpan Jengka sejak dua hari lalu dan mereka mula menebang balak pada waktu petang hingga pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Azmi berkata, semua aktiviti dilakukan secara terancang bagi memastikan ia berjalan lancar.

Katanya, sindiket terbabit hanya memilih spesies balak berkualiti tinggi, antaranya keruing, meranti dan balau.

Pemeriksaan dalam Kompartmen 19 itu, katanya, menemui 65 tunggul pokok pelbagai spesies yang ditebang sindiket terbabit dengan setiap pokok dipotong antara dua hingga tiga tual.

“Sindiket ini dikesan menggunakan pemberi maklumat atau tonto untuk mengesan kehadiran anggota penguat kuasa.

“Ini membolehkan mereka segera meninggalkan kawasan ceroboh sebelum lokasi berkenaan diserbu,” katanya.

Beliau berkata, Hutan Simpan Jengka menjadi tumpuan pencuri balak berikutan terdapat banyak balak berkualiti tinggi, selain kedudukannya yang jauh daripada penempatan penduduk.

Katanya, sindiket terbabit dianggap profesional apabila turut menggunakan jentera berat bagi melancarkan aktiviti mereka.

“Setiap individu memiliki lebih daripada satu kemahiran. Sebagai contoh, selain menebang balak, dia turut boleh memandu jengkaut.

“Kami kini berusaha mengesan rangkaian sindiket terbabit. Kesalahan yang dilakukan amat besar kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan negeri tetapi turut merosakkan hutan.

“Balak yang disita akan segera dilelong selepas kes selesai. Jentera dan tiga motosikal kini disimpan di pusat simpanan barangan kes Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, di sini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here