49 pasar malam akan beroperasi sekitar KL

0
109

KUALA LUMPUR: Hanya 49 daripada 98 lokasi pasar malam seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Daripada jumlah itu, hanya tujuh lokasi pasar malam dijadual memulakan operasi mereka, hari ini, sejurus kebenaran mengenainya diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Tujuh lokasi pasar malam itu terletak di Taman Desa dan Taman Sri Endah di Seputeh; Jalan Ang Seng, Brickfields; Taman Melati, Wangsa Maju; Taman Kok Doh, Segambut serta Taman Segar dan Desa Tun Razak, Cheras.

Difahamkan, jumlah keseluruhan pasar malam dibenarkan beroperasi itu dikekalkan seperti pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah peniaga pasar malam yang sudah mendapat kebenaran beroperasi dikatakan mungkin berkurangan susulan faktor sambutan daripada pelanggan.

Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL dalam satu kenyataan berkata, operasi perniagaan pasar malam adalah antara jam 4 petang hingga 10 malam.

“Semua peniaga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengamalkan pemakaian pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan seperti disarankan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here