50 penduduk dipindahkan akibat tebing runtuh

0
218

PASIR MAS: Seramai 50 penduduk di Kampung Jalan Pohon Celagi, di sini, dipindahkan selepas berlaku runtuhan tebing sepanjang 200 meter awal pagi tadi.

Runtuhan berlaku bermula jam 2.30 pagi hingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan sebuah rumah runtuh dipercayai disebabkan arus Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan sejak dua hari lalu sebelum rekahan terbabit semakin ketara mulai malam tadi.

“Susulan itu kita sudah mengambil langkah awal dengan menutup jalan di kawasan terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Runtuhan mula berlaku mulai jam 2.30 hingga 6.30 pagi dan hingga kini masih berlaku pergerakan tanah menyebabkan semua penduduk diminta berpindah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad, berkata kawasan yang terjejas dianggarkan sepanjang 500 meter termasuk 200 meter kawasan runtuhan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat laporan sebelum dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Kita akan membuat dewan badminton di sini untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh memuatkan 80 orang.

“Sekiranya lebih ramai penduduk yang diminta berpindah, kita akan membuka satu lagi dewan di sekolah untuk penempatan sementara mereka,” katanya.

Siasatan awal mendapati, runtuhan itu berlaku disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke tebing berkenaan.

“Tindakan segera akan diambil kerana sekiranya runtuhan tebing itu semakin teruk, ia akan menjejaskan sebahagian besar bandar Pasir Mas,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here