550 ahli kumpulan kongsi gelap ditahan sehingga Mac lalu

0
115

SHAH ALAM: Seramai 550 orang ahli kumpulan kongsi gelap ditahan polis menerusi Op Cantas Khas Gangsterisme bermula tahun 2019 hingga Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata tangkapan berkenaan membabitkan 175 kes jenayah yang dilakukan kumpulan kongsi gelap seperti pergaduhan, merusuh, bunuh, cuba bunuh, penggunaan senjata api dan lain-lain jenayah kekerasan.

“Seramai 219 orang ditangkap pada 2019; 285 pada 2020 dan 46 ditangkap pada tahun ini (sehingga Mac) menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah 550 orang.

“Di Selangor, terdapat beberapa kumpulan kongsi gelap yang aktif iaitu Geng 21, Geng 08, Geng 24 dan Geng 36. Kebanyakan ahli kongsi gelap ini berusia 20-an hingga 40-an,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya ahli kumpulan kongsi gelap berkenaan, kadar jenayah membabitkan kumpulan itu di negeri adalah terkawal.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 adalah tindakan alternatif yang diambil oleh pihak polis dalam mengekang perilaku seseorang dalam kegiatan jenayah.

Katanya, berdasarkan statistik bermula tahun 2015 hingga Mac 2021, seramai 2,433 orang sudah dikenakan tindakan POCA dan jumlah itu meningkat setiap tahun.

“Pada tahun lalu, jumlah tangkapan POCA adalah 604 orang dan ia adalahh yang tertinggi di negara ini,” katanya.

Katanya, antara kesalahan jenayah yang diambil tindakan POCA adalah kes samun, pecah rumah, curi kenderaan, ahli kumpulan kongsi gelap dan perjudian.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here