7 peniaga dikompaun naikkan harga barang kawalan

0
87

KUALA TERENGGANU: Tujuh peniaga dikompaun kerana menaikkan harga barang kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, berkata peniaga terbabit dikenakan tindakan kerana menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Katanya, selain melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, seramai 13 peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat dan satu kes membabitkan kesalahan Akta Perlindungan Pengguna.

“Nilai keseluruhan kompaun dikenakan atas tiga kesalahan itu adalah berjumlah RM2,650.

“Semua kesalahan itu dilakukan peniaga sejak hari pertama Ramadan hingga semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan bersama pasukan penguat kuasa KPDNHEP di tapak Pasar Tani Hiliran, di sini, mendapati peniaga menjual barangan harga kawalan SHMMP lebih rendah daripada ditetapkan.

Tinjauan juga mendapati daging lembu dijual pada harga RM32 sekilogram sedangkan harga ditetapkan di bawah SHMPP adalah RM34.

Harga daging ayam standard pula dijual pada harga RM7.90 sekilogram manakala ikan selayang dan tongkol dijual pada harga antara RM12 dan RM10 sekilogram.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here