9 paten MPOB berpotensi dikomersialkan

0
123

PUTRAJAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini berada di kedudukan 20 teratas sebagai pemohon paten terbaik Malaysia yang disenaraikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi 2020.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam, berkata ia secara langsung melonjakkan kedudukan empat anak tangga berbanding sebelum ini.

Katanya, sebanyak sembilan paten yang berpotensi besar untuk dikomersialkan difailkan tahun lalu.

“Paten itu termasuk kenderaan pelbagai guna untuk kecekapan operasi di ladang, sistem pemisahan minyak dan formulasi untuk pertahanan daripada jangkitan patogen serta kaedah penghasilannya.

“Selain itu, turut dipatenkan teknologi berkaitan pengekstrakan peptida bio-aktif daripada mesokarpa buah sawit antaranya kaedah mengesan bahan asing dalam minyak sawit mentah komposisi dan formulasi menghasilkan strandboard, perencatan cholinesterases oleh ekstrak buah sawit yang larut dalam air.

“MPOB turut mempatenkan komposisi dan kaedah perencat kakisan, serta peralatan pertanian seperti syaf dan pepaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara lain ialah mempatenkan kenderaan pelbagai guna, kuasa bateri untuk menghidupkan alat pertanian, enjin penjana bagi mengecas bateri, dan sistem hibrid untuk menggabungkan satu atau lebih sumber tenaga yang boleh diperbaharui untuk mengecas bateri.

“Komponen lain termasuk transmisi pemboleh ubah berterusan, penegang tali pinggang boleh laras untuk menyesuaikan kelajuan atau tork kenderaan, transgandar untuk menghantar kuasa, satu atau lebih roda alat pertanian.

“Sistem pemisahan air dan minyak yang dibangunkan MPOB sesuai untuk memisahkan emulsi minyak dan air menjadi komponen minyak berkepadatan rendah dan komponen berair berkepadatan yang lebih tinggi.

“Formulasi MPOB untuk pertahanan daripada jangkitan patogen adalah bahan untuk meningkatkan pertumbuhan tanaman, terdiri daripada substrat yang dibuat berdasarkan sisa minyak sawit atau produk sampingan pengilangan sawit dan kulat dari genus Trichoderma,” katanya.

Beliau berkata, penarafan yang diterima itu membuktikan komitmen MPOB terhadap pembangunan teknologi dan inovasi yang berterusan serta sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan negara untuk industri minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata, harta intelek berperanan penting dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara terutamanya dalam industri sawit.

“MPOB sentiasa berusaha untuk mengembangkan teknologi inovatif dalam sektor makanan dan bukan makanan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here