Ada 8 kluster aktif di Selangor

0
43

 

Shah Alam: Selangor mencatatkan lapan kluster aktif termasuk tiga di Klang setakat semalam, seperti disahkan Kementerian Kesihatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurutnya, Klang kini diwartakan zon merah dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini hingga 23 Oktober depan.

“Mukim Klang mencatatkan 79 kes aktif dan 24 daripadanya adalah kes import B (Sabah). Bagaimanapun semua kluster adalah terkawal dan proses pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

“Kluster pertama adalah kluster Jalan Apas, Sabah membabitkan sembilan kes yang dijangkiti daripada individu yang pulang dari Sabah selepas menghadiri majlis perkahwinan di Jalan Apas, Tawau.

“Kluster kedua pula membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) Pandamaran berjumlah 15 kes, dengan semua mereka berada dalam tahanan polis, manakala kluster ketiga adalah Kluster Jalan Meru membabitkan kakitangan sebuah syarikat yang menghadiri mesyuarat syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Siti Mariah berkata, sehingga kini 68 pekerja syarikat itu dan kontak mereka dikesan positif, malah ia jangkitan terkawal dan tidak membabitkan penduduk atau premis lain di Jalan Meru, Klang.

Katanya, selain Klang, Petaling mempunyai kluster baharu iaitu Kluster Bah Puchong yang merekodkan lima kes aktif membabitkan tiga sekeluarga pulang dari Sabah.

Menurutnya, mereka menjalani kuarantin di rumah namun, menerima kunjungan dua ahli keluarga dari Perak.

Empat kluster lain adalah Kluster Seri Setia (4 Kes) dan Kluster Jelok (5 Kes) di Petaling; Kluster Seri Anggerik, Hulu Selangor (17 kes) dan Kluster Embun, Hulu Langat (7 Kes).

“Masyarakat diharap dapat memainkan peranan penting dengan mengikuti arahan Majlis Keselamatan Negara, mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here