Afiq bawa sebahagian hati saya menghadap Ilahi – Wan Mohd Hafizam

0
662

KUALA LUMPUR: Allahyarham Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini yang menghembuskan nafas terakhirnya awal pagi tadi, sempat menempah beberapa kotak hadiah khusus bagi warga Hospital Selayang yang menjaganya sepanjang menjalani rawatan di situ.

Mohd Afiq Ikmal, 23, dikatakan menempah 35 kotak hadiah bagi menghargai jasa jururawat dan doktor yang merawatnya, sejak Januari lalu.

Penderma hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, berkata Allahyarham membuat tempahan berkenaan kepada seorang individu dikenali beliau, sebelum berada dalam keadaan kritikal, pada 13 Februari lalu.

“Allahyarham seolah-olah sudah tahu akan ‘pergi’ kerana dia titipkan pesanan supaya semua kotak hadiah berkenaan diberi kepada jururawat dan doktor yang menjaganya di hospital menjelang Mac ini.

“Tempahan bagi hadiah berkenaan juga sudah dibayar lebih awal oleh Allahyarham dan kami semua tidak tahu apa isi kandungan dalam kotak terbabit.

“Saya dan waris adik Afiq akan uruskan pengagihan kotak hadiah berkenaan selepas urusan pengebumian Allahyarham selesai nanti,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Allahyarham Mohd Afiq Ikmal, penerima hati pertama di Malaysia menghembuskan nafas terakhirnya akibat komplikasi hati selepas 18 hari dirawat di Hospital Selayang, Selangor, kira-kira jam 5 pagi tadi.

Jenazah Mohd Afiq Ikmal dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang dan dijangka dikebumikan di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat Sungai Petani, Kedah.

Baru-baru ini, BH melaporkan, Mohd Afiq Ikmal dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati, selepas 23 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati.

Pemuda berkenaan menjalani pembedahan itu ketika berusia 14 bulan, selepas Wan Mohd Hafizam menyatakan kesediaan mendermakan sebahagian hatinya.

Paparan kisah Mohd Afiq Ikmal itu mendorong Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu, walaupun antara mereka tiada pertalian saudara dengan keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan.

Dalam pada itu, Wan Mohd Hafizam mengakui sedih dengan khabar pemergian Mohd Afiq Ikmal.

“Saya jangka saya pergi dulu kerana dari segi usia saya lebih tua berbanding Allahyarham. Saya sebenarnya berharap Afiq dapat terus hidup lebih lama dan menyambung legasi sebagai penderma organ suatu hari nanti, tetapi apakan daya, Allah lebih menyayanginya.

“Sebahagian hati saya dalam tubuh Allahyarham dan dia bawa sekali bahagian itu menghadap llahi. Sebahagian daripada saya juga sudah dikebumikan,” katanya.

Mengimbau perjalanan Mohd Afiq Ikmal dirawat di Hospital Selayang, Wan Mohd Hafizam berkata, beliau ada menyuarakan hasrat untuk sekali lagi mendermakan sebahagian hatinya kepada Allahyarham.

“Hasrat ini dinyatakan kepada keluarga Mohd Afiq Ikmal selepas saya dimaklumkan Allahyarham perlu menjalani sekali lagi pembedahan pemindahan organ, apabila dia berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun, ia tidak kesampaian dan kami semua ketika itu sentiasa mendoakan Allahyarham dapat kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here