Agensi penyalur bantuan diminta perkukuh kerjasama

0
74

JASIN: Agensi penyalur bantuan pada peringkat negeri dan Persekutuan, diminta memperkukuh hubungan kerjasama bagi memastikan usaha meringankan beban golongan sasaran dapat dilaksanakan dengan cepat serta efisien.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata langkah itu juga dapat membantu agensi dan kementerian terbabit mencapai petunjuk prestasi utama ditetapkan setiap tahun.

“Melalui kolaborasi yang dijalankan, mudah-mudahan kita dapat terus menabur bakti seperti membaik pulih rumah, melaksanakan pembinaan, menyediakan kios atau bantuan lain, dengan cepat.

“Banyak perkara berat akan dapat diringankan dan yang susah dimudahkan.

“Kita juga dapat memaksimumkan tenaga kerja, sekali gus gerak kerja akan menjadi lebih teratur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MyHaus 2021 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan Program MyHaus 2021 dengan keseluruhan nilai RM25,000 meliputi bantuan baik pulih rumah, kios perniagaan, alat pernafasan, komputer riba serta wang tunai kepada pasangan suami isteri, Norfaraliza Nordin, 38, dan Azizi Abdul Hamid, 41.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Program MyHaus adalah antara inisiatif penting bagi membantu golongan asnaf di negara ini, untuk mendiami rumah lebih selamat dan selesa, sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sementara itu, Norfaraliza berkata, bantuan terbabit memberi keselesaan tempat tinggal kepada mereka sekeluarga.

Malah, beliau berkata, kios diterima membolehkannya menjalankan perniagaan ketupat bagi meningkatkan taraf hidup mereka, manakala alat pernafasan pula dapat meringankan kos rawatan dua daripada lima anak yang kerap diserang penyakit asma.

“Alhamdulillah, memang saya tidak menyangka akan mendapat bantuan dalam satu pakej lengkap ini.

“Sejak 2017, kami hidup dalam keadaan rumah tidak sempurna dengan masalah bumbung bocor, siling rosak dan ada bahagian berlantaikan tanah, selain tandas tidak sempurna,” katanya.

Norfaraliza memaklumkan, pendapatan suami sebagai tukang kebun hanya kira-kira RM1,800 sebulan yang tidak mencukupi untuk menyara mereka tujuh beranak. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here