AKSEM di bawah PDRM perkasa kawalan sempadan – PM

0
62

KUALA LUMPUR: Kerajaan percaya strategi meletakkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) berupaya menyekat pencerobohan warga asing dengan lebih berkesan terutama ketika penukaran pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu juga bertujuan menstruktur semula dan memperkasakan strategi kawalan sempadan negara secara holistik bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat kekal terpelihara.

“Bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk meletakkan AKSEM di bawah tanggungjawab PDRM.

“Menerusi Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, AKSEM adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melaksanakan kawalan di sempadan darat negara terhadap kegiatan penyeludupan atau kegiatan tidak sah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Media sebelum ini melaporkan Hamzah mengumumkan AKSEM diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM dalam usaha memperkasa fungsi agensi itu.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu diluluskan di peringkat Kabinet bagi memperbaiki dan memperkukuhkan penugasan kawalan di sempadan.

sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here