Aktiviti pemerdagangan manusia menurun sepanjang PKP

0
133

GERIK: Aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran menurun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan susulan kawalan ketat dilakukan pihak berkuasa di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah D3 Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisionar Fadil Marsus, berkata trend menurun itu sekali gus membuktikan PKP turut memberi kesan kepada rutin harian kegiatan haram, termasuk aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Beliau berkata, kawalan di semua sempadan dan sekatan jalan raya digerakkan lebih aktif di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19, menyebabkan kegiatan haram itu terutama aktiviti penyeludupan manusia berjaya dikurangkan.

“Kita ketatkan kawalan di semua kawasan sempadan supaya tidak ada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mungkin membawa kemasukan kluster baharu, selain turut memberi kesan kepada aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Kilometer 89, Jalan Kuala Kangsar -Gerik di Padang Kunyit dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood.

Fadil berkata, operasi yang banyak dan lebih aktif serta pemeriksaan lebih ketat juga menyebabkan jumlah PATI dan penyeludup yang berjaya ditangkap lebih ramai.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sebanyak 89 kompaun dikeluarkan di seluruh Gerik dan Lenggong sepanjang tempoh PKP dengan 79 daripadanya menjelaskan bayaran masing-masing.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here