Atlet negara ke Olimpik harap diutamakan suntikan vaksin

0
88

KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara, Leong Mun Yee berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyenaraikan atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan dalam kumpulan yang diberi keutamaan bagi menerima suntikan vaksin COVID-19.

Dia yang sudah pun melayakkan diri menerusi acara 10 meter platform seirama bersama gandingannya, Pandelela Rinong, berkata vaksin itu dapat memberi jaminan kepada atlet bagi menghadapi temasya terbesar dunia berkenaan.

“Keutamaan sudah pasti perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan. Namun, kami juga berharap atlet yang layak dapat dipertimbangkan untuk diberikan suntikan vaksin sebelum beraksi pada Sukan Olimpik nanti.

“Ini akan membuatkan kami berasa lebih selamat untuk pergi ke luar negara terutama ke Tokyo nanti,” katanya yang akan membuat penampilan kelima pada Sukan Olimpik selepas Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

Sementara itu, atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy turut senada dengan Mun Yee dan menyifatkan ia akan lebih memudahkan mereka sekiranya perlu melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik di luar negara.

“Mmang sangat bagus kalau kerajaan beri vaksin kepada atlet yang layak ke Sukan Olimpik. Kami pun mungkin akan keluar negara bagi melakukan persiapan.

“Jadi, sedikit sebanyak vaksin itu bantu meningkatkan lagi tahap keyakinan kami bagi melakukan persiapan dan dapat mengurangkan risiko daripada dijangkiti COVID-19,” kata Khairulnizam yang layak ke Tokyo bagi kelas laser lelaki.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Invovasi dan Teknologi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membolehkan atlet negara ke Sukan Olimpik menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelum ke Tokyo.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut menggalakkan atlet yang akan bertanding di Tokyo mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan selama setahun akibat pandemik COVID-19 akan berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here