Ayam sejuk beku bernilai RM60,500 dirampas

0
300

JELI: Polis merampas lebih enam tan ayam sejuk beku dianggar bernilai RM60,500 yang dipercayai cuba diseludup dari Thailand di Kampung Ayer Lanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, anggota dari Balai Polis Ayer Lanas menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki berusia 18 dan 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata pemeriksaan menemui 550 kotak dengan setiap satunya mengandungi enam bungkusan plastik lutsinar berisi ayam sejuk beku seberat 6,600 kilogram.

“Hasil siasatan awal, kita mendapati bekalan ayam sejuk beku ini diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

“Kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang permit import yang sah oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan sijil kesihatan yang dikeluarkan daripada negara asal (Thailand) untuk membawa masuk barangan itu ke negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad berkata, pemandu berasal dari Tanah Merah dan remaja dari Rantau Panjang itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Barangan rampasan diserahkan kepada pihak MAQIS dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here