Bangunan tambahan Hospital Miri siap 2023

0
29

MIRI: Hospital Miri bakal menikmati kemudahan perubatan yang lebih selesa dengan siapnya projek bangunan tambahan bernilai RM289. 2 juta empat tahun dari sekarang.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata bangunan tambahan yang akan siap pada 2023 itu akan menjadikan Hospital Miri sebagai sebuah hospital yang besar dan moden.

“Ia adalah sebagai langkah bijak kerajaan negeri bagi memberikan perkhidmatan perubatan yang selesa buat semua penduduk di negeri ini khususnya di Kota Peranginan Sarawak ini,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan Hospital Miri, hari ini.

Katanya, projek pembesaran Hospital Miri sebagai tepat pada masanya selaras dengan peningkatan jumlah penduduk di Miri dan Wilayah Utara negeri ini secara keseluruhannya.

“Bagi memastikan akses ke Hospital Miri lebih singkat, kerajaan negeri akan membangunkan jaringan jalan raya yang moden dan komprehensif menuju ke hospital berkenaan,” katanya.

Contoh terbaik jelasnya ialah kerajaan akan memajukan jaringan jalan raya yang menghubungkan Lawas dan Limbang yang dijangka siap pada 2025 nanti.

“Inilah kita Kerajaan Sarawak yang amat mengambil berat akan kebajikan rakyat di negeri ini dan kita akan laksana apa yang kita janjikan demi keselesaan semua pihak khususnya rakyat di negeri ini,” tegasnya.

Justeru itu katanya, rakyat di negeri ini harus terus memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan satu-satunya parti tempatan anak jati Sarawak yang amat memahami akan aspirasi serta kehendak anak Sarawak.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here