Banjir miliki ‘kuasa memusnah’ tinggi jika hutan ditebang

0
146

KUALA LUMPUR: Kesan kemusnahan akibat banjir di sesuatu kawasan menjadi lebih buruk akibat aktiviti penebangan hutan dan pembersihan kawasan.

Pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata aktiviti berkenaan tidak menyumbang secara langsung kepada berlakunya banjir kerana faktor utama mencetusnya ialah hujan terlalu lebat hingga melampaui kapasiti yang mampu ditampung sungai.

Bagaimanapun, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia (ASK-APM) itu menegaskan, aktiviti penebangan hutan dan pembersihan kawasan akan mempengaruhi impak kemusnahan apabila banjir berlaku.

“Aktiviti penebangan dan pembersihan hutan tidak begitu mempengaruhi kerana banjir melanda apabila berlaku curahan hujan yang sangat tinggi dan alur sungai tak mampu menampung alirannya.

“Bagaimanapun, penebangan hutan dan pembersihan kawasan mempengaruhi impak banjir, ertinya pelodakan akan berlaku dengan lebih tinggi tinggi (dalam sungai).

“Kayu di tempat pembersihan atau penebangan akan diangkut manakala dan sungai yang mengalami banjir akan memiliki kuasa memusnah lebih tinggi.

“Jika sebelum ini banjir jernih dan kita boleh bermain airnya, tapi sekarang kita nampak kayu, batu, pasir dan kelodak bersama banjir yang boleh meruntuhkan rumah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siri webinar ‘Bencana Banjir 2021: Antara Fenomena Tabii dan Bencana Cetusan Manusia’, hari ini.

Turut hadir sebagai ahli panel ialah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Nishad Mohameed Mohd Shaffy.

Ibrahim yang juga Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sukar untuk mengenal pasti sama ada bencana banjir berlaku akibat semula jadi atau cetusan manusia.

“Umumnya, banjir adalah fenomena alam tapi saya yakin apa yang berlaku sekarang sama ada di Kuala Lumpur atau banjir besar lain, kekuatan dan impaknya banyak disumbang oleh manusia yang tidak mengenali alam.

“Mereka melakukan sesuatu yang melangkaui keupayaan takungan alam, menyebabkan banjir berlaku lebih pantas atau impaknya lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Nishad Mohameed berkata, projek tebatan banjir JPS menyelamatkan 1.65 juta daripada 5.7 juta penduduk yang terdedah pada risiko banjir, dan pihaknya meletak sasaran melindungi sekurang-kurangnya 2.5 juta penduduk lagi menjelang 2025.

Selain itu, katanya, JPS melaksanakan projek ramalan dan amaran banjir yang dilihat berkesan di kawasan dilanda bencana itu akibat musim tengkujuh seperti negeri di Pantai Timur.

Di ibu negara, katanya, selain pelaksanaan Terowong SMART, JPS turut menjalankan projek melencongkan Sungai Gombak dan Sungai Keroh ke tiga kolam takungan banjir di bawah Pelan Mitigasi Banjir Kuala Lumpur.

“Ketiga-tiga kolam ini dapat menampung sehingga 10 juta meter padu air yang dilencongkan dari sungai berkenaan.

“Contohnya pada Oktober tahun lalu, Kuala Lumpur menerima hujan terlalu lebat yang tertumpu di kawasan pusat bandar dan sekitar Masjid Jamek, selain di Ampang, Batu dan Keroh.

“Ketika itu, kita berjaya melencongkan 10 juta meter padu air daripada memasuki bandar raya.

“Jika tiga kolam takungan itu tidak ada, banjir yang berlaku pada Oktober tahun lalu akan lebih teruk dan sama dengan insiden pada 1971,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here