Bapa tidak berperikemanusiaan mengaku tidak bersalah merogol anak baru habis pantang

0
1267

KANGAR: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas tuduhan merogol dan cuba merogol anak kandungnya yang baharu selesai berpantang pada bulan lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang memiliki empat anak didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 21 tahun pada 30 dan 31 Mei lalu di rumah pada 9 malam.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa cuba merogol mangsa sama di rumah sama pada 9 malam, 1 Jun lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B dan 511 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun bersama sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norharniza Rusli.

Mohd Izham kemudian meminta tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan dia berpotensi mengganggu mangsa berikutan mereka tinggal serumah bersama mangsa dan saksi utama lain.

Selain itu, perbuatan tertuduh dikatakan sebagai tidak berperikemanusiaan kerana mangsa adalah anak bongsu serta baharu selesai berpantang selepas melahirkan anak.

Bagaimanapun, Norharniza meminta mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan kes berkenaan masih tersenarai mengikut jadual pertama Kanun Keseksaan yang membenarkan jaminan diberi.

Selain itu, mahkamah dimaklumkan tertuduh akan tinggal di rumah ibu saudaranya di negeri lain, sekiranya dia dibenarkan diikat jamin.

Ainul Shahrin kemudian memutuskan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin dan perlu melapor diri di Balai Polis Kuala Ketil setiap minggu.

Tertuduh juga tidak dibenarkan untuk mendekati mangsa dan ahli keluarga pada jarak sekurangnya 200 meter dan dilarang berhubung dengan mereka termasuk melalui perbualan melalui telefon.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Julai ini, untuk serahan laporan lengkap perubatan.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here