Bayar RM5,000 untuk tukar lokasi penugasan

0
148

LAPAN anggota polis dikenakan tindakan disiplin akibat menerima imbuhan daripada anggota lain selepas mendakwa boleh membuat pertukaran lokasi tugas pada awal tahun lalu.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, beliau menerima maklumat disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan perkara itu ketika Abdul Hamid mula memegang jawatan terbabit.

“Hasil maklumat itu, kami melakukan siasatan dan mendapati memang wujud aktiviti terbabit dilakukan lapan anggota berkenaan yang kini sudah ditukarkan ke penugasan baharu.

“Difahamkan anggota terbabit mendakwa mereka mampu untuk melakukan penukaran lokasi penugasan anggota. Namun, mereka ini hanya memantau saja sama ada anggota berkenaan berjaya dipindahkan atau tidak dengan upah kira-kira RM5,000.

“Mereka langsung tidak terbabit dengan penukaran lokasi penugasan anggota kerana ia dilakukan oleh pegawai atasan melalui beberapa peringkat termasuk mesyuarat yang tidak membabitkan anggota berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Abd Rahim berkata, pihaknya sedar mengenai pelbagai tohmahan yang diperkatakan berkaitan sistem peperiksaan termasuk membabitkan kenaikan pangkat.

“Tohmahan itu termasuk dakwaan ada pihak yang mahu lulus dalam peperiksaan perlu membayar jumlah tertentu.

“Kami sedar mengenai tohmahan itu dan tidak menafikan perkara itu kerana ada kemungkinan ia berlaku memandangkan isu itu boleh berlaku di mana-mana. Namun, kami tidak menemui sebarang bukti wujudnya perkara itu setakat ini,” katanya.

Susulan itu, pihaknya menambahbaik sistem peperiksaan membabitkan pendigitalan proses kerja, pengasingan tugas, mengehadkan akses serta peperiksaan pasukan berpusat.

Dalam perkembangan berasingan, Abd Rahim berkata, pihaknya merancang untuk memaksimumkan pengambilan bagi mengisi kekosongan jawatan pada tahun ini dan 2021.

“Seramai 2,958 pelatih yang masuk ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara sehingga hujung tahun ini berbanding kira-kira 6,000 pelatih setahun sebelum ini.

“Ia berlandaskan kapasiti penjarakan sosial digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran pandemik Covid-19.

“Justeru, pengambilan berbaki 3,042 pelatih pada tahun ini akan dibawa kepada unjuran tahun hadapan bagi memastikan tidak berlaku kekurangan pegawai dan anggota bertugas menggantikan mereka yang berpencen serta berhenti secara sukarela. Namun, ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Sumber: Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here