Bebas pun ada ‘limit’, ini maksud merdeka dalam konteks Islam yang wajib kita ambil tahu

0
46

KURANG tiga hari lagi, kita bakal menyambut hari kemerdekaan negara. Tahun ini, genap 63 tahun kemerdekaan Malaysia yang bakal diraikan pada hari Isnin ini.

Begitu pantas masa berlalu. Kita sudah lama bebas daripada cengkaman penjajah.

Begitupun, firasat kebanyakan daripada kita tentang makna merdeka masih klise walaupun sudah lebih enam dekad berlalu, sedangkan skop merdeka membawa pengertian luas lebih-lebih dari segi konteks Islam.

Lebih menyedihkan apabila sebilangan umat Islam mempunyai sudut pandang yang serong. Mereka menganggap merdeka merupakan satu kenangan manis yang perlu diraikan dengan membiarkan mereka bebas melakukan apa sahaja, meskipun melanggar peraturan alam mahupun agama. Itu salah faham yang besar dan memesongkan!

Perlu difahami, seorang Muslim dan Muslimah diciptakan oleh YANG MAHA ESA secara fitrahnya untuk beribadah kepada-NYA. Islam juga memberi kebebasan kepada manusia membuat pilihan dan mengajar umatnya agar bertanggungjawab dan memikul sendiri akibat daripada sesuatu keputusan yang dipilih.

Namun, dalam kehidupan kita, bukan semua perkara boleh dibuat sewenang-wenangnya. Ada catatan dosa dan juga pahala.

Pada minggu ini, sempena menyambut kemerdekaan negara, Sinar Islam mengajak beberapa pendakwah mengupas erti kemerdekaan yang sebenar di sisi Islam.

Bebas jadi hamba ALLAH

Pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa dengan penuh penegasan berkata, dalam konteks agama, merdeka membawa pengertian bahawa umat Islam bebas menjadi hamba ALLAH.

USTAZ MOHD FAUZI

Dalam erti kata lain, jelas beliau, umat Islam bebas beramal dengan apa sahaja yang diperintahkan oleh ALLAH dan meninggalkan segala yang tidak disukai-NYA.

“Pun begitu, ada hadnya. Ia bukanlah bermaksud bebas sebebas-bebasnya, tetapi kita bebas dalam beramal dan melaksanakan hukum-hukum ALLAH. Ingatlah bahawa kita bukan mahu jadi musuh ALLAH.

“Kita tidak diberikan kebebasan mutlak kerana kita hanyalah seorang hamba yang masih punya Pemerintah, Pencipta dan Penguasa iaitu ALLAH SWT.

“Keadaan ini sama seperti kita duduk di Malaysia yang mana negara kita ada undang-undang. Sesiapa yang duduk dan datang ke sini, mereka tertakluk kepada undang-undang negara. Begitu juga dengan kehidupan kita di atas muka bumi ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ustaz Mohd Fauzi berkata, beliau berasa sangat sedih apabila melihat generasi muda yang tergelincir daripada landasan gara-gara gagal memahami apatah lagi menghayati makna merdeka yang sebenar.

“Merdeka bagi mereka bermaksud bebas melakukan apa saja hingga sanggup dan berani melanggar hukum ALLAH SWT. Contohnya, berfoya-foya, tak gentar melakukan aktiviti seks bebas dan perbuatan merempit, lihat saja pada cuti umum hari sambutan kebangsaan nanti.

“Ketahuilah, ia adalah pendekatan dan fahaman yang salah. Merdeka bukanlah bebas mengikut hawa nafsu dengan gaya hidup yang keterlaluan.

“Perbuatan buruk tadi bukan saja memakan diri, tetapi juga menyusahkan ibu bapa dan masyarakat,” katanya yang sangat mengharapkan golongan seperti itu bangkit dan menginsafi perbuatan mereka.

Dalami ilmu agama

Menyambung hujahnya, agamawan itu berkata, umat Islam juga perlu membebaskan diri daripada kejahilan.

Merdeka konteks Islam
BACALAH al-Quran dan fahami isi kandungannya agar dapat diamalkan dalam kehidupan seharian agar bebas daripada kejahilan.

“Negara kita sudah lama merdeka secara fizikalnya. Justeru, kita perlu memerdekakan diri kita dari segi minda iaitu dengan membebaskan diri daripada kejahilan.

“Belajarlah dan beri penekanan kepada ilmu agama. Sebab itulah dalam al-Quran, ada lebih 780 kalimah ilmu dan 150 ayat tentang belajar. Ia menunjukkan kepentingan belajar dan ilmu kepada kita,” katanya.

Seperkara lagi, kata Ustaz Mohd Fauzi, tidak perlulah kita terikut-ikut dengan rencam budaya Barat yang menyesatkan dan bertentangan dengan ajaran agama.

Umat Islam katanya, perlu sedar bahawa sarjana-sarjana dan cendekiawan-cendekiawan dunia banyak dipelopori dan dikuasai oleh orang Islam.

“Terlalu ramai kalau mahu dinyatakan, antaranya saya boleh sebut seperti Al-Zahrawi yang merupakan pakar bedah dan Ibnu Rusyd yang mendasari ekonomi. Beliau juga genius dalam bidang Matematik,” katanya.

Selain itu, agamawan berkenaan juga mahu umat Islam bersama-sama memerdekakan ekonomi dengan mengikuti landasan dan ajaran Islam dalam setiap urusan yang berkaitan.

“Nasihat saya, jangan menipu dalam perniagaan, jauhi riba, perjudian dan sebagainya. Alhamdulillah pada hari ini, kita sudah ada sistem takaful, perbankan Islam, pajak gadai Islam dan pelaburan mengikut cara Islam. Itu semua satu perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Diskusi kami semakin rancak tentang topik merdeka dari sudut Islam. Kata Ustaz Mohd Fauzi, terlalu banyak untuk menyenaraikan maksud merdeka dan kebebasan dalam Islam.

Namun katanya, perkara yang paling signifikan yang perlu diberi perhatian adalah soal akidah.

“(Akidah) kita wajib dibebaskan daripada unsur syirik, khurafat, sekularisme dan seumpamanya. Semua ini penting untuk mencapai makna kemerdekaan sebenar menurut agama. Walaupun negara kita pernah dijajah selama 446 tahun oleh beberapa kuasa asing, kemerdekaan yang sebenar boleh dicapai jika diri kita bebas daripada cengkaman penjajahan untuk menjadi hamba ALLAH,” katanya.

Pendakwah itu turut mengajak kita kembali renungi dan menginsafi kisah Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di Taif.

Katanya, walaupun nabi menerima cacian, makian, dihalang dan dibaling dengan batu hingga kakinya berdarah, baginda tetap berdoa yang baik-baik iaitu: “Ya ALLAH berilah kepadaku, kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui apa-apa.”

“Apabila generasi lama meninggal dan ada sebahagiannya telah berusia, datang generasi yang baharu sebagai pemimpin. Bayangkan ketika nabi masih hidup, mereka (generasi baharu) boleh mengikuti perintah agama. Justeru, ia bukan halangan untuk kita ‘merdeka’ walaupun sudah lama dijajah,” ujar beliau lagi.

Peranan pendakwah

Bagaimana pula peranan pendakwah-pendakwah untuk terus komited, konsisten dalam memartabatkan syiar Islam meskipun negara diulit pelbagai kemelut?

Menjawab pertanyaan itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berkata, kumpulan itu mesti proaktif, tegas dan bijaksana dalam mempertahankan ‘kemerdekaan’ agama.

Andai kata Islam dihina dan ‘diperkotak-katikkan’, pendakwah tidak boleh berdiam diri dan bertolak ansur, tegas beliau.

“Paling penting, usaha amar makruf nahi mungkar perlu sentiasa dilaksanakan demi menegakkan kebenaran dan menyelamatkan agama Islam daripada dicemari dengan fitnah dan penyelewengan.

“Masyarakat perlu ditarbiah untuk menghayati, mendalami dan mengamalkan tuntutan agama. Semuanya dengan metodologi dakwah yang bersifat holistik. Ia termasuklah dengan cara dakwah bil hal (akhlak yang mulia) iaitu menegakkan syiar Islam dalam diri, melakukan dakwah lapangan, penulisan kritis, melalui teknologi (menjadi tekno-da’i) dan seumpamanya.

“Hal ini penting untuk menjayakan misi dakwah sebagai proses komunikasi dan proses perubahan sosial dalam masyarakat yang akhirnya dapat dimanifestasikan melalui penghayatan Islam sebagai cara hidup,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Ahli akademik itu turut menegaskan, apa jua bentuk dakwah yang ingin disampaikan, pendekatan dakwah itu haruslah selari dengan saranan ALLAH.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Berdakwahlah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Dalam erti kata lebih mudah, jelas Ustazah Sharifah Fadylawaty, pendekatan dakwah secara asasnya harus meliputi al-hikmah, al-mau i’zah al-hasanah dan al-mujadalah bi al-lati hiya ahsan.

Al-Hikmah katanya, berkait rapat dengan sifat-sifat sebagai pendakwah iaitu benar, cerdik, amanah dan tabligh, meletakkan sesuatu pada tempatnya, sabar, mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas.

Bukan itu sahaja, ia juga merangkumi kandungan dakwah dengan mengambil isi kandungan al-Quran dan segala penerangan yang bertepatan dengan dalil serta strategi dakwah.

“Pendekatan al-maw‘izah al-hasanah pula adalah melalui nasihat yang baik dalam merangsang jiwa sasaran supaya kembali kepada jalan ALLAH SWT termasuk pemilihan bahasa yang sesuai agar penyampaian lebih efektif.

“Sementara itu, pendekatan al-mujadalah bi al-lati hiya ahsan adalah melalui perdebatan yang terbaik agar dapat menarik perhatian, mempengaruhi dan memberi kesan kepada sasaran,” katanya.

Menjadi seorang pendakwah juga, Ustazah Sharifah Fadylawaty berkata, mereka harus menghiasi diri dengan sifat-sifat yang terpuji seperti keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT, ikhlas, sabar, peramah, pemaaf, menguasai ilmu agama yang dalam dan menjadi contoh teladan yang baik dan lain-lain.

Tegasnya, dakwah adalah untuk mengajak orang ramai ke jalan yang lurus dan bukannya menghukum!

Menjawab satu soalan lain, pendakwah itu menjelaskan, segala pengisian sambutan kemerdekaan perlulah dititikberatkan meliputi acara yang memberi kesedaran dan peringatan mengenai makna kemerdekaan amnya dan makna kemerdekaan seorang Muslim khususnya.

“Hayati erti sebenar merdeka iaitu merdekakan diri daripada segala perkara negatif. Antaranya akhlak buruk, kemalasan, permusuhan, kejumudan pemikiran dan lain-lain,” katanya.

Beliau menyarankan agar jangan sesekali mencemari sambutan merdeka dengan perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

“Sebagai contoh, mengagungkan budaya hedonisme. Sebaliknya, kembalilah kepada ajaran Islam yang benar dan berusaha lakukan anjakan paradigma untuk bersama membina negara yang lebih gemilang. Kukuhkan pembinaan jati diri kita dengan perkasakan asas utama seperti agama, bahasa, pendidikan dan akhlak,” katanya.

Sebagai hamba ALLAH SWT, hayatilah makna kemerdekaan yang sebenarnya. Jadilah Muslim sejati yang sentiasa mengutamakan agama dalam apa jua perkara.

Merdeka konteks Islam
PENDEKATAN dakwah yang digunakan haruslah selari dengan saranan ALLAH SWT supaya syiar Islam dapat ditegakkan.

‘Merdekakan diri daripada belenggu syaitan’

Sebagai generasi baharu yang lahir selepas 31 Ogos 1957, menjadi kewajipan untuk kita untuk mengisi kemerdekaan yang telah dicapai oleh generasi terdahulu.

Pendakwah Ustaz Ahmad Faiz  Hafizuddin Rosli atau Pencetus Ummah (PU) Faiz berkata, perkara itu turut dianjurkan oleh alim ulama.

PU FAIZ

Beliau mengemukakan pandangan ulama yang menyatakan: “Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman.”

“Maka, untuk meningkatkan jati diri, seseorang itu perlu meletakkan kecintaan kepada tanah air pada hati setelah dia mencintai ALLAH dan Rasulullah SAW,” katanya.

Memberi contoh, PU Faiz berkata, misalnya, seorang doktor atau pelajar kedoktoran yang bercita-cita menjadi doktor untuk berbakti kepada tanah air atau seorang pendakwah yang melakukan tugas untuk berjasa kepada negara.

PU Faiz turut menasihatkan umat Islam agar mengambil peluang untuk ‘berjihad’ dengan memerdekakan diri daripada pengaruh syaitan sempena pembuka ‘buku baharu’ dalam bulan Muharam ini.

Ujar beliau, Muharam merupakan antara bulan haram yang mana ALLAH melarang kita daripada melakukan kezaliman.

“Justeru, janganlah kita lakukan apa yang dilarang oleh ALLAH kerana seseorang yang benar-benar mencapai erti kemerdekaan, orang itu bukan sahaja berjaya menghalau British daripada penjajahan di atas tanahnya, tetapi juga berjaya menghalau syaitan di dalam hatinya.

“Mudah kata, usah gunakan tubuh badan, kaki, tangan dan kepala untuk melakukan perkara yang ditegah. Jika berjaya dilakukan, ini bermakna kita berjaya menghalang syaitan daripada menguasai nafsu kita. Itulah orang panggil erti kemerdekaan yang hakiki,” katanya.

Menyoroti kemerdekaan negara, PU Faiz turut menyarankan agar umat Islam mengingati kembali jasa para ulama seperti Syeikh Abdullah Fahim yang telah sama berjuang dalam kemerdekaan negara.

“Beliaulah yang berjasa besar dalam memberikan irsyad (nasihat) kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Antara petunjuk beliau terhadap Tunku termasuklah pergi ke London menuntut kemerdekaan, mengutip derma dalam ceramah-ceramah orang Melayu dan mencadangkan tarikh kemerdekaan mengikut takwim hijrah.

“Oleh itu, ayuhlah kita menghidupkan budaya mengenang dan berterima kasih kepada para alim ulama kita yang berjasa kepada agama dan negara,” katanya.

SUMBER: SINAR PLUS

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here