Bekas komandan mengaku tidak bersalah terima suapan RM400, 000

0
292

KUALA LUMPUR: Bekas Komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM400,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Brig Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 64, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad bernombor 429139 berjumlah RM200,000 milik Too Pro Market, hasil aktiviti haram ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad bernombor 589067 berjumlah RM200,000 milik SFX Management iaitu aktiviti haram ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi di sini, pada 11 dan 13 Oktober 2016.

Berikutan kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala tertuduh diwakili peguam dari Ashikin & Co.

Mahkamah menetapkan jaminan RM80,000 menggunapakai jaminan sedia ada sebelum ini.

Sebutan semula ditetapkan pada 26 Februari depan untuk dibicarakan serentak bersama kes sebelum ini di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Sumber : Berita  Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here