Bekas Pengerusi MCPF, penceramah cegah jenayah didakwa pecah amanah

0
129

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur, Bok Siew Mun dan penceramah pencegahan jenayah, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan pecah amanah serta bersubahat terhadap dana yayasan itu berjumlah RM195,000.

Siew Mun, 50, dan Saiful Hamiruzzaman, 47, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam dan Hakim Datin Sabariah Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siew Mun sebagai Pengerusi MCPF Kuala Lumpur didakwa melakukan pecah amanah terhadap terhadap dana yayasan berkenaan dengan mengarahkan bayaran secara cek Bank Affin berjumlah RM195,000 kepada syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd.

Sementara itu, Saiful dituduh bersubahat dengan Siew Mun untuk melakukan kesalahan sama dengan mengemukakan invois milik syarikat Trio Green Hornet dan menandatangani baucar bayaran yayasan berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad, cawangan Bandar Sri Permaisuri, di sini, antara 26 Februari hingga 31 Mei 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Vignesh Kumar.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here