Bekas pengurus besar kanan didakwa kes rasuah lebih RM200,000

0
237

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus besar kanan sebuah syarikat pembinaan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah lebih RM200,000 antara 2017 hingga 2019.

Tertuduh, Chua Shiou Meng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta untuk dirinya suapan sebanyak RM10,000 setiap bulan daripada seorang individu, sebagai dorongan bagi tidak memberi laporan prestasi kerja kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak sebuah syarikat dibatalkan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima untuk dirinya daripada individu sama, suapan berjumlah RM140,000 sebagai dorongan bagi tidak memberi laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat terbabit dibatalkan.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima untuk dirinya daripada seorang lagi individu, suapan berjumlah RM75,700 melalui akaun bank isteri tertuduh sebagai dorongan bagi tidak memberi laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak sebuah syarikat lain dibatalkan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit antara Januari 2017 hingga Januari 2019 di Selangor.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab, menawarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Nik Ahmed Asraf Nik Othman, Shah Rizal Abdul Manan dan Kelvinder Singh, kemudian memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan serta memaklumkan tertuduh akan hadir ke mahkamah apabila dipanggil.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Mahkamah juga menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here