Bekas pensyarah usahakan kutu air higenik

0
31

SEREMBAN: Bermula sekadar menjual ikan pelaga atau nama saintifiknya, Betta splendens secara kecil-kecilan di pasar malam, sepasang suami isteri terus mengorak langkah apabila kini bergelar pembekal utama makanan hidup higenik atau kutu air (moina) higenik di negara ini.

Mohamad Faez Saharudin dan Nurul Azwa Abdul Rahman, masing-masing berusia 37 tahun dan kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai pensyarah kolej kemahiran swasta di Melaka, kini tidak cukup tangan untuk membekalkan kutu air higenik yang diternak secara komersial.

Mohamad Faez berkata, kutu air itu adalah elemen utama dalam industri akuakultur, khususnya bagi industri hatceri untuk penghasilan benih ikan dan udang yang berkualiti serta sihat.

“Secara tradisionalnya, pengusaha ikan pelaga mendapatkan bekalan kutu air hidup seperti Moina sp diperolehi dari sumber kotor seperti loji kumbahan atau longkang tercemar.

“Keadaan itu bukan sahaja boleh menjejaskan tahap kesihatan ikan terbabit tetapi juga boleh memberi kesan kepada kesihatan pengusaha itu sendiri.

“Selain itu, isu kos makanan hidup import yang semakin mahal seperti Artemia spp telah menyebabkan kos operasi hatceri semakin meningkat.

“Justeru, saya mengambil peluang membangunkan perusahaan kutu air ini secara higenik dan mengkormersialkannya bermula 2018,” katanya ketika ditemui di pusat penternakan makanan hidup NS Betta, di Kampung Kayu Ara Mambau, dekat sini, hari ini.

Mohamad Faez berkata, pengetahuan mengenai teknologi ternakan kutu air itu secara intensif dan higenik diperolehinya menerusi kursus pendek di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, Glami Lemi, Jelebu, dekat sini.

Beliau yang juga lulusan dalam bidang mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), berkata Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) banyak membantu melalui bimbingan, khidmat nasihat dan kepakaran.

Katanya, hasilnya setakat ini pihaknya berjaya mengeluarkan tiga jenis kutu air iaitu Moina sp, Moina Thai dan Daphnia Magna selain turut mempertingkatkan lagi perusahaan ikan laga.

“Alhamdulillah, sejak berpindah di tapak baharu ini mulai Ogos tahun lalu, usaha ini mendatangkan pulangan baik walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, kadangkala tidak mampu menampung permintaan.

“Kutu air higenik yang saya keluarkan ini adalah makanan berprotein serta berkhasiat untuk anak ikan laga, sekali gus boleh menghasilkan produk ikan berkualiti,” katanya.

Usahawan berasal dari Perak itu berkata, beliau kini ada 25 tangki ternakan kutu air higenik dengan tempoh menuai mengambil masa dua minggu secara pusingan.

Katanya, setiap tangki mampu menghasilkan 500gram (g) kutu air higenik dan setiap bulan boleh mengeluarkan sekitar 15 kilogram dengan harga pasaran ditetapkan RM5 bagi setiap 10g.

“Industri ini boleh dianggap baharu namun berpotensi untuk berkembang maju seperti mana di Thailand.

“Pasaran kutu air higenik ini bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga mendapat permintaan dari seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya turut berhasrat mengeluarkan telur kutu air untuk pasaran luar negara.

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here