Bekas Setiausaha Politik Mat Sabu dibicara 15 Mac

0
187

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menghadapi lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu, akan bermula pada 15 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat berkata, mahkamah menetapkan 15 sehingga 17 Mac untuk perbicaraan kes dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali, selain menetapkan 12 Mac untuk sebutan kes itu.

“Pihak pendakwaan juga memaklumkan seramai 37 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes,” katanya kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, hari ini.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein, yang mewakili Mohd Azhar berkata, pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A, Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi satu pertuduhan meminta suapan, Mohd Azhar, 50, didakwa meminta RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, di sini pada 22 Julai 2019.

Bagi empat pertuduhan menerima, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here