Belanjawan 2021 dijangka berteraskan kepentingan rakyat

0
44

JUMAAT ini, inti sari pembentangan Belanjawan 2021 bakal menentukan ‘hidup mati’ ekonomi Malaysia, pasca pandemik COVID-19.

Wartawan BH, Luqman Arif Abdul Karim, mendapatkan pandangan Presiden Teras Perniagaan dan Profesional Sikh Malaysia, Datuk Harjit Singh Sidhu, mengenai jangkaan ‘wajah’ belanjawan yang bakal dibentangkan.

S: Gambaran am yang boleh dijangkakan daripada pembentangan Belanjawan 2021?

J: Saya jangkakan sebuah ‘Belanjawan Berteraskan Rakyat’, dengan memberi penekanan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 terendah (B40), M40 dan perusahaan kecil serta sederhana akan dibentangkan.

Belanjawan ini akan terus memacu usaha memulihkan ekonomi menerusi pakej rangsangan yang bersasar. Penekanan seterusnya akan terarah kepada inisiatif memulihkan industri pelancongan, perkhidmatan, hospitaliti, sukan dan menambah baik sektor kesihatan untuk manfaat rakyat.

Saya rasa sektor kesihatan bakal diberikan peruntukan yang lebih baik bagi mengharungi sebarang keadaan luar jangka.

S: Sejauh mana kebolehlaksanaan peruntukan Belanjawan 2021 dalam memacu ekonomi negara, pasca pandemik COVID-19?

J: Ia berbalik kepada persoalan di mana dana perlu dijana, menerusi pelbagai sistem percukaian. Situasi penuh mencabar ketika ini memberi tekanan yang amat tinggi kerana kadar kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mencatatkan penyusutan susulan keadaan sektor perniagaan yang merudum.

S: Cabaran yang bakal dihadapi kerajaan, memandangkan ekonomi ketika ini masih dalam peringkat pemulihan susulan pandemik COVID-19.

J: Pada hemat saya, antara cabarannya berkisar kepada belanjawan defisit yang bakal menyaksikan pelbagai industri menerima peruntukan sumber yang tidak mencukupi. Susulan itu, belanjawan bagi membiayai projek mega perlu ditangguhkan buat sementara waktu dan peruntukan berkenaan kemudian akan disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat dengan menekankan pelbagai isu utama.

S: Berapa saiz peruntukan paling berpatutan wajar disediakan kerajaan dan bidang ekonomi yang perlu diberikan perhatian atau tumpuan utama?

J: Sebanyak mungkin. Untuk membentangkan belanjawan yang terbaik, kerajaan perlu mempunyai sumber mencukupi.

Dalam situasi penuh getir ini, kebanyakan perniagaan berdepan macam-macam kemelut. Harga semasa minyak mentah dunia berlegar sekitar AS$41 setong dan PETRONAS dilaporkan sebelum ini mengalami penyusutan pendapatan berkadar empat peratus bagi suku pertama 2020, berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Pada 2019, belanjawan bernilai kira-kira RM297 bilion diperuntukan oleh kerajaan untuk 2020, justeru sekiranya kerajaan dapat menyediakan peruntukan berkadar sama bagi 2021, ia adalah permulaan yang baik.

S: Selepas GST dimansuhkan dan harga minyak mentah jatuh merudum, wujud keperluan cukai baharu dalam Belanjawan 2021 untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan?

J: Terus terang saya katakan, apa sekali pun cukai baharu yang ingin dilaksanakan kerajaan tidak akan mendapat penerimaan yang baik dalam kalangan rakyat. Sebaliknya, kita perlu meneliti semula sistem percukaian sedia ada di negara ini.

Individu berpendapatan bulanan RM10,000 dan ke bawah wajar diberikan pengecualian cukai. Bayaran cukai sebanyak RM12,580 berdasarkan kadar semasa yang dikenakan terhadap individu setiap tahun berupaya disalurkan dalam bentuk perbelanjaan bagi menyuburkan ekonomi.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan kemungkinan untuk meningkatkan nilai ambang pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), iaitu dari RM500,000 pertama kepada RM1,000,000 dengan kadar 17 peratus.

Penjimatan bayaran cukai sebanyak RM35,000 (tujuh peratus daripada RM500,000) untuk setiap syarikat ini dapat digunakan untuk merangsang ekonomi, memandangkan dana berkenaan bakal dibelanjakan bagi tujuan perniagaan.

Langkah lain bagi menjana pendapatan negara ialah dengan memperkenalkan semula Cukai Penggunaan. Anda hanya akan dikenakan cukai apabila anda melakukan penggunaan.

Kadar yang dicadangkan ialah antara tiga hingga empat peratus. Sudah tentu, bekalan biasa akan dikenakan Cukai Penggunaan, manakala industri lain seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam diberikan pengecualian cukai.

Sebagai pulangan, kerajaan boleh memberikan baucar cukai bagi mengimbangi Cukai Penggunaan yang dialami kelompok B40 dan M40.

Selain itu, rejim cukai lama menerusi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) wajar diperkenalkan semula, dengan individu yang ingin melupuskan hartanah berusia lima tahun dan ke atas dikecualikan daripada cukai ini.

Sementara itu, syarikat yang berhasrat untuk melupuskan hartanah berusia selepas lima tahun hanya dikenakan CKHT berkadar lima peratus. Sektor hartanah juga perlu ‘dihidupkan’ semula.

Insentif cukai bersasar dengan syarat tertentu perlu diberikan kepada syarikat multinasional (MNC) bagi menarik syarikat asing untuk menubuhkan firma mereka di Malaysia.

Percaturan ini berupaya memacu peluang pekerjaan, memandangkan kadar pengangguran kita sekarang berada pada tahap 4.7 peratus setakat Ogos lalu, atau membabitkan kira-kira 741,600 orang.

Syarat yang bakal diperkenalkan antara lain ialah 90 peratus daripada pekerja di firma MNC berkenaan harus terdiri daripada warga tempatan dan kewajipan untuk memindahkan kemahiran teknologi tinggi kepada pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai proses timbal balik, kerajaan boleh menawarkan insentif cukai seperti Status Perintis atau Insentif Cukai Pelaburan kepada syarikat ini, yang mana mereka kemudian bakal menikmati manfaat pengecualian cukai selepas memenuhi segenap prasyarat yang digariskan kerajaan.

S: Ketidaktentuan politik dikhuatiri bakal menjadi halangan dalam belanjawan nanti, adakah ia suatu perkara yang perlu dibimbangkan?

Kerajaan yang stabil adalah pemangkin terbaik untuk ekonomi dan penggubalan dasar berkaitan, malah ia antara komponen terpenting untuk Malaysia pada waktu ini.

S: Wujud keperluan mendesak untuk kerajaan menyuntik pelaburan dalam membangunkan infra berkaitan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), 5G, perbankan dalam talian, transaksi tanpa wang, pasca COVID-19?

Kerajaan perlu memacu pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet berkelajuan tinggi 5G, bagi menyokong infrastruktur bekerja dari rumah (BDR) yang akan menjadi norma baharu buat masa ini. Menjalankan perniagaan secara dalam talian adalah antara hala tuju seterusnya.

Bagaimanapun, ledakan kemajuan AI bagi memberikan ‘tempias’ kepada keperluan guna tenaga manusia bagi buruh fizikal yang secara tidak langsung, menjejaskan prospek peluang pekerjaan.

Kerajaan boleh menyediakan dana atau menarik minat syarikat teknologi canggih yang mempunyai kepakaran, teknologi dan sumber untuk melabur di Malaysia. Sebagai pulangan, insentif cukai atau kadar cukai berpatutan dapat ditawarkan.

S: Memperkasakan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi rakyat serta negara dikenal pasti antara tiga tonggak utama Belanjawan 2021, adakah wujud keperluan untuk seimbangkan tonggak ini dengan faktor lain?

Mengekalkan tiga tonggak utama seperti diutarakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat mencukupi buat masa ini. Kita ketika ini memberi keutamaan kepada faktor kelestarian, bukan menabur janji melangit dan berdepan risiko prestasi kurang memberangsangkan.

S: Pakej rangsangan disediakan kerajaan sebelum ini menjangkau RM300 bilion, adakah suatu peruntukan belanjawan yang lebih kecil akan dibentangkan kerajaan supaya tidak melepasi kadar siling hutang-Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)?

Macam yang saya katakan, ia bergantung kepada sumber sedia ada. Dalam waktu penuh mencabar ini, peruntukan yang diperlukan sememangnya tidak akan pernah mencukupi. Kerajaan sebaliknya wajar mengutamakan sektor penting, khususnya ekonomi memandangkan ramai yang hilang mata pencarian berikutan pandemik kesihatan ini.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here