Berganding bahu bersihkan sendiri parit elak banjir

0
167

PONTIAN: Penduduk kampung Parit Kudus, di sini, berganding bahu membersihkan sendiri parit utama yang tersumbat sehingga kawasan berkenaan dinaiki air bah sehingga paras peha, hari ini.

Tinjauan mendapati parit di situ dipenuhi rumput dan lalang selain sampah menyebabkan ia tidak dapat menampung air hujan sehingga melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Penduduk terjejas, Mohd Shafik Ahmad, 34, yang juga seorang kontraktor mengambil inisiatif membersihkan sendiri parit utama di Parit Kudus, selepas rumah dan premis perniagaan penduduk kampung mula dinaiki air sejak pagi tadi.

Katanya, beliau mengambil tanggungjawab dengan menggunakan jengkaut dimilikinya dan mula mengaut rumput, lalang dan sampah dalam parit utama berkenaan bagi membolehkan air mengalir sempurna.

“Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan air mula melimpah dari parit sebelum memasuki kediaman dan premis perniagaan penduduk di kawasan rendah.

“Ramai penduduk risau kerana kawasan ini tidak pernah dilanda banjir sebelum ini namun bulan ini sahaja sudah tiga kali dengan kali ini paling teruk.

“Saya mengambil inisiatif menggunakan jengkaut milik saya untuk membersihkan parit di sini yang dipenuhi rumput, lalang dan sampah.

“Penduduk kampung turut membantu dengan mengawal laluan Parit Semerah-Parit Kudus berikutan sesetengah kawasan menyebabkan laluan terputus kerana dinaiki air sehingga melebihi paras peha dan merbahaya kepada kenderaan ringan,” katanya ketika ditemui.

Hari ini, Johor dilaporkan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat mulai melanda kebanyakan kawasan di negeri ini sejak pagi tadi sekali gus meningkatkan kebimbangan banjir di beberapa kawasan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan, dilaporkan berkata bagaimanapun langkah berjaga-jaga dan pemantauan akan ditingkatkan berikutan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia hujan lebat dan ribut petir di tujuh daerah membabitkan Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat dan Muar, hari ini.

Penduduk Parit Kudus, Norzilah A Rashid, 45, berharap pihak berkuasa melakukan pemantauan dan kerja menyelenggara parit utama di situ dengan lebih kerap bagi mengelakkan kawasan itu dinaiki air bah lagi.

“Risau bila tengok air dari parit melimpah laju memenuhi perkarangan rumah pagi tadi kerana penduduk tidak membuat persediaan apa-apa.

“Namun kami bersyukur ada anak kampung yang prihatin membersihkan parit utama di sini bagi mengelakkan air melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir terutama di laluan utama penduduk di sini, ” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here