Bersatu kita kuatkan sempadan laut negara!

0
42

Kuala Lumpur: Penekanan terhadap usaha menangani isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan negara dibincangkan melalui mesyuarat Op Benteng Laut di KD Sultan Ismail (KDSI) Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, Johor bermula kelmarin.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat dihadiri wakil Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bertujuan menyelaraskan segala perintah dan kawalan operasi serta menangani isu-isu penguatkuasaan maritim melalui sesi perbincangan bersama serta percambahan minda.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat bersama Ketua Gugus Tugas Siri 5/20 berkenaan dipengerusikan Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Yusne Mokhtar merangkap Timbalan Maritime Component Commander (MCC) dan di bawah kelolaan Ketua Gugus Tugas sektor Johor Timur, Kepten TLDM Mahadzir Mokhtar serta dikoordinasikan bersama Pegawai Memerintah KDSI, Kepten TLDM Ahmad Sapuan Fathi Muhamad.

“Mesyuarat juga disertai wakil dari Air Component Commander (ACC), Markas Wilayah Udara 1, Kuantan dan Land Component Commander (LCC), Markas Pemerintahan Medan Barat, Kem Sungai Besi.

“Turut dibincangkan prosedur operasi standard (SOP) bersepadu maritim negara bagi meningkatkan tahap kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan yang terbabit,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) turut diwujudkan bagi mengawal kemasukan Pati sekali gus mengawal penularan Covid-19 dalam negara.

“Mesyuarat membabitkan kerjasama antara MCC dan Other Government Agency ini menunjukkan kesungguhan kami dalam menangani isu kemasukan Pati dan jenayah rentas sempadan negara.

“Selain daripada itu, ianya juga mempamerkan komitmen pihak kerajaan dalam membanteras penularan Covid-19 dan kemasukan Pati dengan wujudnya NTF,” katanya.

Tambah kenyataan itu, semua agensi yang terbabit dalam mesyuarat itu turut melakukan tinjauan laut di tiga lokasi perairan negara bagi mencapai pendekatan terbaik Op Benteng Laut.

“Delegasi turut melakukan tinjauan di perairan Selatan Johor dan Johor Timur serta melawat ke Abu Bakar Maritime Base (ABMB) bertujuan meninjau sendiri kekangan operasi serta mencari pendekatan terbaik agar Op Benteng Laut ini dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan.

“Selain berperanan menjaga kedaulatan perairan negara, ABMB turut melaksanakan Kajian Saintifik Marin serta menjaga kepentingan kawasan perikanan untuk golongan nelayan tradisional Pantai Timur Johor,” katanya.

 

SUMBER : HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here