Home Blog

Pandai Menjahit Sejak Usia 5 Tahun, Anak Cilik Ini Siapkan 100 Helai PPE Untuk Petugas Barisan Hadapan

0

Nur Afia Qistina Zamzuri, itulah nama yang diberi untuk gadis cilik ini. Walaupun baru berusia sembilan tahun, Afia sudah faham dan menggalas tanggungjawab yang cukup besar untuk membantu negara mengekang wabak Covid-19.

Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah ini mempunyai kemahiran menjahit dan kemahiran tersebut digunakan sebaiknya dengan menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan ‘frontiliners’ di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Nur Afia menjahit sendiri PPE untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan HTAN.

Menurut laporan Astro Awani, Afia yang belajar menjahit sejak berusia lima tahun menggunakan masa sebaiknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bantuan ibunya Hasnah Hud.

Menurut Hasnah, anak sulung daripada tiga beradik itu secara sukarela berbuat demikian selepas mengetahui barisan hadapan negara berhadapan masalah kekurangan bekalan PPE.

Sukarela untuk membantu frontliners

“Saya mendengar tentang situasi itu dan berjumpa kakitangan HTAN untuk bertanya jenis bantuan yang saya boleh berikan kerana saya memang tukang jahit. Mereka mengalu-alukan jika saya dapat menjahit PPE untuk disumbangkan kepada mereka.

“Apabila saya ceritakan pada Afia tentang hasrat saya untuk menjahit PPE, dia pun turut sama teruja mahu membantu.

“Malah, semua PPE yang kami hasilkan sehingga kini dijahit sendiri oleh Afia. Saya cuma bantu kemaskan di bahagian leher sahaja,” kata Hasnah ketika dihubungi Astro AWANI.

Keluarga Afia

Hasnah berkata, anaknya itu sudah mula menjual hasil jahitannya kepada penduduk sekitar kawasan perumahan mereka ketika berusia tujuh tahun.

Bagi menyiapkan sepasang PPE, Afia mengambil masa kira-kira sejam untuk dihasilkan dan kini sebanyak 100 pasang telah dihantar ke hospital tersebut.

Sumber: Astro Awani

infected

7 peniaga dikompaun naikkan harga barang kawalan

0

KUALA TERENGGANU: Tujuh peniaga dikompaun kerana menaikkan harga barang kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, berkata peniaga terbabit dikenakan tindakan kerana menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Katanya, selain melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, seramai 13 peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat dan satu kes membabitkan kesalahan Akta Perlindungan Pengguna.

“Nilai keseluruhan kompaun dikenakan atas tiga kesalahan itu adalah berjumlah RM2,650.

“Semua kesalahan itu dilakukan peniaga sejak hari pertama Ramadan hingga semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan bersama pasukan penguat kuasa KPDNHEP di tapak Pasar Tani Hiliran, di sini, mendapati peniaga menjual barangan harga kawalan SHMMP lebih rendah daripada ditetapkan.

Tinjauan juga mendapati daging lembu dijual pada harga RM32 sekilogram sedangkan harga ditetapkan di bawah SHMPP adalah RM34.

Harga daging ayam standard pula dijual pada harga RM7.90 sekilogram manakala ikan selayang dan tongkol dijual pada harga antara RM12 dan RM10 sekilogram.

Sumber: Berita Harian

Kartel daging, sekali lagi LY Frozen didakwa

0

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat bersama dua pengarah dan pengurusnya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan memiliki dan bersubahat memiliki barangan larangan produk sejuk beku, Disember lalu.

Ia membabitkan 5,224 kotak bahagian ayam, kambing, lembu, ayam belanda dan itik sejuk beku yang bernilai RM643,465.39.

Tertuduh, iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengarahnya Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pengakuan itu direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki dan bersubahat memiliki 4,018 kotak bahagian ayam, kambing, lembu, ayam belanda dan itik sejuk beku yang bernilai RM488,973.91. Bahagian daging berkenaan dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import). Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini, jam 10.30 pagi, 15 Disember 2020.

Mengikut pertuduhan kedua pula, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki dan bersubahat memiliki 220 kotak bahagian ayam sejuk beku jenama Qualiko bernilai RM30,723, dengan bahagian daging berkenaan dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Kesalahan itu dilakukan dalam sebuah lori Isuzu di premis Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini, jam 5 petang, 15 Disember 2020.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki dan bersubahat memiliki enam kotak bahagian lembu sejuk beku jenama Riverlands sebanyak enam kotak bernilai RM2,787.48, dengan bahagian daging berkenaan dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Kesalahan itu dilakukan dalam sebuah lagi lori Isuzu dengan nombor pendaftaran berbeza, di premis Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini, jam 5 petang, 15 Disember 2020.

Mengikut pertuduhan keempat pula, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki dan bersubahat memiliki bahagian ayam sejuk beku jenama BB Butterfly sebanyak 980 kotak bernilai RM120,981, dengan bahagian daging berkenaan dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Kesalahan itu dilakukan dalam sebuah lori Hino, di premis Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini, jam 5 petang, 15 Disember 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda minimum tidak kurang 10 kali ganda nilai iaitu RM4.89 juta atau RM50,000 (yang mana lebih tinggi) hingga minimum 20 kali ganda nilai, sebanyak RM9.78 juta atau RM500,00 (yang mana lebih tinggi) atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

 

Mahkamah juga hendaklah melupuskan barangan disita dan dilucut hak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengikut Peruntukan Perintah Pelupusan Barang di bawah Seksyen 127 Akta Kastam 1967.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad.

Tertuduh pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ridzuan Othman dan Saiful Zaman Abd Rahman.

Mahkamah menetapkan Yong diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain melaporkan diri setiap dua minggu sekali di balai polis berhampiran manakala Chong pula diperintahkan diikat jamin RM60,000 dengan dua orang penjamin selain melaporkan diri setiap dua minggu sekali balai polis berhampiran. Mahkamah menetapkan kes disebut semula 3 Jun nanti.

Pada 9 Februari lalu, syarikat dan pengarah serta pengurus sama dituduh atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, awal Disember lalu.

Tertuduh, Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengarahnya Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina. Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal. Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.

Sumber: Berita Harian

Lelaki ditahan pukul penghantar makanan

0

GEORGETOWN: Penganggur berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memukul penghantar makanan dalam kejadian di pekarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini, semalam.

Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima sembilan jahitan di kepala akibat dipukul dengan penukul besi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu ketika kejadian, mangsa yang juga lelaki berusia 40 tahun menghantar makanan yang ditempah seorang wanita pada jam 4.10 petang.

Sebaik tiba, penghantar makanan terbabit menunggu lama pelanggannya itu di lokasi bagi menyerahkan makanan.

“Penghantar makanan itu menghubungi wanita berkenaan berkali-kali bagi memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi namun panggilan tidak dijawab.

“Wanita terbabit datang mengambil makanan 10 minit kemudian sebelum penghantar makanan berkenaan beredar pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kira-kira 20 minit kemudian mangsa dihubungi suspek yang juga suami wanita itu, kononnya mahu memulangkan semula makanan.

Ketika tiba di pekarangan rumah suspek, berlaku pertengkaran mulut antara penganggur itu dengan mangsa.

“Suspek menuduh mangsa memarahi isterinya berkaitan penghantaran makanan dan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

“Suspek kemudian memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi,” katanya lagi.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Soffian berkata, suspek ditahan di rumahnya pada jam 11.15 malam tadi.

“Turut dirampas ialah penukul besi yang digunakan sebagai senjata bagi memukul mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Sumber:Berita Harian

Empat negeri catat Rt melebihi paras kebangsaan

0

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kepada 1.15 semalam, namun empat negeri merekodkan kadar lebih tinggi daripada purata kebangsaan.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, hari ini menunjukkan Rt menurun secara perlahan sejak tiga hari lalu, daripada 1.17 pada Isnin, 1.16 (Selasa) dan 1.15 semalam.

Bagaimanapun, empat negeri merekodkan Rt lebih tinggi daripada 1.15 semalam, dan Kelantan adalah yang tertinggi dengan 1.44.

Ia disusuli Kuala Lumpur (1.29), Melaka (1.21) dan Pahang (1.18), di samping Sabah yang mencatat Rt sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.15.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan trend kes harian ketika ini masih berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes baharu ketika ini yang melebihi 2,000 untuk tujuh hari berturut-turut.

Berdasarkan jumlah kes semasa, KKM mengunjurkan kes baharu berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan sekiranya Rt meningkat kepada 1.2.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menegaskan langkah utama untuk mengatasi penularan kes COVID-19 ketika ini dengan memperkukuh langkah kesihatan awam serta pengagihan vaksin COVID-19.

“Memperkukuhkan langkah kesihatan awam adalah kunci kepada usaha melawan COVID-19, yang dilengkapkan dengan pengagihan vaksin kepada orang ramai.

“Sasaran kita ada untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin. Kita hanya akan berjaya mengawal dan menamatkan pandemik sekiranya kita berusaha bersama-sama,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TIM 2021-2030 rujukan utama industri mineral

0

PUTRAJAYA: Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) menjadi agenda baharu negara, sebagai rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri terbabit dibangunkan secara holistik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini, sumber mineral memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan manusia.

Beliau berkata, hampir semua perkara yang berada di sekeliling kita memerlukan sumber mineral dalam penghasilan atau pembuatannya, seperti jalan raya, bangunan, kereta dan telefon pintar, yang memerlukan sumber mineral seperti batu kapur, bauksit, pasir silika, bijih besi dan unsur nadir bumi.

Katanya, sebagai sebuah negara yang kaya dengan hasil mineral, Malaysia harus bijak memposisikan diri serta mengambil peluang untuk meneroka dan membangunkan sumber yang dimiliki.

Justeru, Muhyiddin berkata, Malaysia perlu membangunkan industri itu secara bertanggungjawab dan mampan, berikutan nilai strategik industri berkenaan kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara.

“Kerajaan amat komited dalam memastikan pelan ini berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan khususnya bagi mengangkat kembali industri ini menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Pada 2030, Kerajaan menyasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK akan meningkat kepada RM29 bilion,” katanya ketika Melancarkan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku Pengerusi Majlis Mineral Negara, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sumber: Berita Harian

Pukul pengawal peribadi: Majikan didakwa hari ini

0

KLANG: Majikan kepada dua pengawal peribadi yang diugut dengan pistol dan dipukul kerana berpuasa, tiba di Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh tiba pada jam 9 pagi diiringi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal sebelum ini dilaporkan berkata suspek utama iaitu majikan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah seorang mangsa (mangsa kedua).

Suspek utama juga berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109/324 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengarahkan suspek keempat, iaitu pembantu peribadinya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan.

Suspek utama juga dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menampar serta menyerang perut mangsa kedua, menggunakan lutut.

Suspek terbabit juga dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan agama yang dianuti oleh kedua-dua mangsa.

Suspek keempat juga dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan.

Difahamkan, satu pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, terhadap suspek utama akan turut dibuat di Kuala Lumpur.

Sementara itu, suspek kedua dibebaskan tanpa syarat memandangkan tiada sebarang kaitan dengan kejadian serta tiada sebarang keterangan yang boleh dikaitkan secara material.

Suspek pertama dan suspek ketiga dilepaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa pada 14 April lalu.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah Batu Nilam, Klang.

Sumber: Berita Harian

Ibu nekad bawa 7 anak terjun sungai

0

PENAMPANG: Seorang ibu nekad terjun sungai bersama tujuh anaknya demi menyelamatkan diri selepas Kampung Dumpil, Putatan, di sini, terbakar malam tadi.

Sahara Ismail, 35, bersama anaknya yang berusia dua hingga 16 tahun meredah air sungai paras paha sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terjaga untuk membuat susu anak bongsu perempuannya.

“Saya kemudian terdengar teriakan lalu membuka pintu dan melihat rumah jiran terbakar.

“Saya mengejutkan semua anak sambil mendukung anak bongsu dan terus terjun ke sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika itu air sungai paras paha dan terpaksa meredah demi keselamatan anak-anaknya.

“Saya dibantu anak sulung dan orang kampung ke kawasan selamat.

“Rumah saya tidak terbakar namun saya panik ketika itu kerana api sudah merebak ke rumah jiran yang terletak bersebelahan dengan rumah saya.

“Anak-anak saya semua selamat namun badan kami semua berlumpur kerana meredah air sungai. Nasib baik ketika itu air surut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 10.20 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi pasukan bomba berada di lokasi dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia antara 17 hingga 20 rumah yang musnah terbakar.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 12.20 tengah malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, semua mangsa yang terbabit akan dipindahkan di Dewan Program Perumahan Rakyat Serigai, Putatan.

“Setakat ini berdasarkan maklumat bomba dan masyarakat yang terbabit, tidak ada mangsa yang terkorban dalam kebakaran ini.

“Punca kebakaran kita serahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Maritim Johor kekalkan momentum operasi, aset

0

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor meneruskan momentum operasi termasuk menggerakkan aset secara optimum di sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata penugasan 200 anggota adalah secara bergilir daripada segi rondaan dan pemantauan di perairan negeri ini.

“Maritim masih mengekalkan momentum operasi dan aset dalam jumlah yang sama sungguhpun pandemik COVID-19, selain terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu seperti dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun kapal berlabuh secara haram.

“Dalam tempoh ini, ada beberapa pengesanan dilaporkan terutama daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), kita pun mengambil tindakan daripada pengesanan yang dikemukakan.

“Pada masa sama, Maritim Johor akan memastikan kawasan perairan Johor Timur bebas daripada kapal yang berlabuh secara haram yang cuba mengelak daripada bayar cukai kepada kerajaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan bagi meninjau penguatkuasaan yang dilaksanakan Maritim Malaysia ketika Ramadan menggunakan aset kapal KM Perwira pada program bersama media di sekitar perairan Johor Timur, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nurul Hizam berkata, pihaknya turut membuat satu lagi tangkapan baharu kapal yang berlabuh tanpa kebenaran semalam, menjadikan keseluruhan 55 kapal ditahan, menerusi Op Jangkar Haram dijalankan.

Katanya, kapal itu ditahan bersama 10 kru warga Indonesia berusia 35 hingga 54 tahun, kira-kira jam 1.25 tengah hari, di kedudukan 14 batu nautika Timur Tanjung Siang Johor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 361 (6) ordinan sama kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh dan gagal mempamerkan polisi insurans daripada Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Agong zahir tahniah kepada Prof Dr Adeeba

0

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan tahniah kepada pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, atas pelantikan menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seri Paduka turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pelantikan berkenaan kerana majlis berkenaan adalah kumpulan penasihat peringkat tertinggi yang dianggotai sarjana terkemuka dunia, sekali gus menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pelantikan Dr Adeeba bukan sahaja satu pengiktirafan kepada dirinya sebagai individu berprestasi tinggi, malah kepada Malaysia.

“Ia sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan individu berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa,” kata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook, hari ini.

Seri Paduka juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Adeeba dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah turut berharap kejayaan itu akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Majlis Sains WHO bertindak sebagai suara kepemimpinan saintifik dalam memberi saranan dan nasihat mengenai kemajuan sains dan teknologi yang secara langsung dapat memberi kesan kepada kesihatan global.

Anggota majlis itu merangkumi pakar terkemuka di peringkat antarabangsa dengan rekod pencapaian dalam bidang masing-masing dan mempunyai kefahaman yang diiktiraf mengenai kesihatan global.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Dr Adeeba juga memegang jawatan sebagai pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan ahli eksekutif Majlis AIDS Malaysia.

Beliau aktif di barisan hadapan dengan menjadi orang penting dan penggerak kempen kesedaran penyakit HIV dan AIDS, selain mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin mengenai HIV dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.

Pada 2013 dan 2014, beliau diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.

Tahun lalu, Dr Adeeba mencipta sejarah menjadi orang Asia pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

‘Kerajaan negeri boleh beli vaksin COVID-19’

0

KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, memberi maklum balas positif kepada kerajaan negeri yang berhasrat membeli sendiri bekalan COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor dan Sarawak yang membuat permohonan itu, boleh berbuat demikian dengan syarat vaksin yang ingin dibeli mesti berdaftar dengan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

“Bagi kerajaan negeri Sarawak, saya mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan memaklumkan bahawa bekalan vaksin Kerajaan Persekutuan mencukupi untuk menampung keperluan pelaksanaan

PICK di Sarawak.

“Beliau memohon untuk kerajaan negeri membeli vaksin. Saya memberi respon positif dengan syarat vaksin yang ingin dibeli oleh kerajaan negeri Sarawak mesti berdaftar di bawah NPRA terlebih dahulu.

“Ia memandangkan jenis vaksin yang dikehendaki oleh kerajaan negeri Sarawak masih dalam proses penilaian oleh NPRA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy turut menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kerajaan negeri Selangor menunggu berbulan lamanya untuk kelulusan mendapatkan dua juta dos bagi rakyat Selangor.

“Ini tidak benar. Dalam perbincangan saya dengan Menteri Besar Selangor, beliau ada sebut

secara lisan perancangan Selangor untuk membeli vaksin.

“Saya memberi respon positif, namun sehingga kini saya belum menerima apa-apa permohonan rasmi daripada pihak kerajaan negeri,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, turut menyatakan kesediaan disoal, dikritik dan disiasat berhubung perolehan vaksin serta segala yang berkaitan dengannya.

Beliau menyatakan keterbukaan itu susulan kenyataan Anwar yang menuntut supaya siasatan bebas dibuat berhubung PICK dan perolehan vaksin.

Khairy berkata, beberapa kontrak pembelian vaksin bersama jadual penghantaran dan harganya sudah didedahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada 5 Januari lalu.

“Antara ahli PAC yang hadir dan memperhalusi kontrak perolehan vaksin pada hari berkenaan adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

“Saya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang pada 19 Mac lalu yang mana saya bentangkan secara panjang lebar pelaksanaan PICK termasuk menjawab pelbagai soalan secara terperinci.

“Ketua Pembangkang tidak hadir pada sesi berkenaan,” katanya.

Semalam, Anwar menggesa satu badan siasatan bebas ditubuhkan segera oleh kerajaan bagi menyiasat kadar pemerolehan vaksin yang rendah di negara ini.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu perlu bagi menjawab pelbagai persoalan termasuk mengapa cuma tiga peratus rakyat Malaysia sudah mendapat suntikan vaksin untuk melawan COVID-19.

Khairy memaklumkan, PICK dilaksanakan mengikut fasa yang diumumkan sejak 14 Februari lalu.

“Perancangan PICK dibuat dengan mengambil kira jadual penghantaran vaksin yang diberi oleh syarikat pembekal vaksin.

“Jadual ini diumumkan sebelum ini. Saya sudah jelaskan mengikut unjuran kerajaan, bekalan vaksin kita akan mula ampuh bermula Jun.

“Ini juga mengikut perancangan PICK yang mana vaksinasi massa fasa tiga dijadualkan bermula Jun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian