Home Blog Page 2

Degil tak pakai pelitup muka

0

SINGAPURA: Seorang lelaki tidak memakai pelitup muka dalam kereta api transit aliran massa (MRT) ditahan semalam, kerana menyebabkan gangguan kepada orang ramai dan melanggar peraturan jarak selamat.

Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan lelaki itu tidak memakai pelitup mula ketika menaiki kereta api di Laluan MRT Timur-Barat.

Dalam video sepanjang hampir dua minit itu, dia boleh didengar memberitahu seorang lagi penumpang alasan dia enggan memakai pelitup.

Polis mengesahkan bahawa satu aduan dibuat dan siasatan sedang dijalankan, lapor agensi berita CNA.

“Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun kerana didakwa menyebabkan gangguan awam dan melanggar peraturan jarak selamat berkaitan kes tersebut,” menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dalam video itu, setelah penumpang lain kelihatan menggesa lelaki itu supaya memakai pelitup muka, dia menjawab: “Pakailah pelitup (muka) anda, tidak mengapa. Saya tidak akan sekali-kali memakainya,”

Lelaki itu kemudian duduk antara dua penumpang, di mana seorang wanita yang duduk di sebelah kanannya segera bangun dari tempat duduk.

Ketika lelaki itu terus menerus bercakap mengenai kajiannya mengenai isu pelitup muka, penumpang yang duduk di sebelah kirinya pula bingkas bangun. Beliau juga memberitahu penumpang lain supaya tidak melayan lelaki itu.

“(Anda) hanya berikan perhatian kepadanya,” menurut penumpang itu.

Selepas seminit, seorang penumpang kelihatan menawarkan pelitup muka kepada lelaki itu.

Bagaimanapun lelaki tersebut membalas dengan raut wajah seakan jijik dengan pemberian itu. “Saya tidak akan meletakkan benda itu pada muka saya,” katanya sambil menggunakan kata kesat. Pelitup muka itu ditinggalkan di atas kerusi.

Mereka yang didapati bersalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 (RM30,924) atau kedua-duanya sekali.

Polis berkata, orang ramai perlu memandang serius peraturan fizikal dan jarak selamat.

“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang secara terbuka dan secara sengaja melanggar langkah jarak selamat,” katanya. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Hantar baju, kuih raya antara alasan rentas daerah, negeri

0

PETALING JAYA: Polis mengesan pengguna jalan raya menggunakan pelbagai alasan tidak munasabah seperti menghantar baju dan kuih raya untuk membolehkan mereka merentas daerah dan negeri tanpa surat kebenaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya tidak mengenakan kompaun sebaliknya mengarahkan individu terbabit untuk berpatah balik.

Beliau berkata bagi pemandu yang ingkar, tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta tanpa kompromi.

“Kami sudah mulakan (sekatan jalan raya) daripada semalam dan mendapati setakat ini masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil untuk merentas negeri dengan tujuan tidak sepatutnya dan mereka diarahkan untuk berpatah balik.

“Antara alasan mereka seperti hantar baju ke rumah kawan di Shah Alam, beli barang, bawa keluarga untuk beli-belah di kawasan Shah Alam,” katanya kepada Bernama selepas menjalankan tinjauan di sekatan jalan raya di KM34 Lebuhraya Persekutuan malam tadi.

Beliau berkata bagi melancarkan pergerakan lalu lintas waktu hari bekerja, pihaknya akan membuka laluan tambahan namun pemeriksaan ketat tetap dijalankan seperti biasa.

Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi mendapati aliran trafik di beberapa laluan utama keluar masuk ibu negara terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan susulan pemeriksaan ketat dilakukan polis dalam sekatan jalan raya.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Lans Koperal ditemui mati tergantung

0

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis sempat menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi dan bersahur dengan keluarga sebelum ditemui mati tergantung di rumahnya di Taman Pertama, Sandakan, pagi tadi.

Kejadian disedari isteri mangsa yang menemui suaminya tergantung di ruang tamu rumah mereka, jam 7.30 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mangsa berpangkat Lans Koperal berusia 28 tahun dan bertugas dengan Pasukan Polis Marin (PPM) di Sandakan.

Katanya, siasatan awal mendapati anggota terbabit mempunyai rekod kerja yang baik dan tiada masalah dengan rakan sekerja, termasuk pegawai atasan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kes berkenaan. Difahamkan, anggota terbabit menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hazani berkata, mangsa turut sempat bersahur bersama keluarganya pagi tadi sebelum ditemui tergantung beberapa jam selepas itu.

Katanya, jenazah sudah dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk proses bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sumber: Berita Harian

Berita palsu kemungkaran besar media sosial

0

KUALA LUMPUR: Penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial sudah sampai ke tahap kemungkaran besar dan perlu dicegah dengan mengenakan tindakan undang-undang dan hukuman setimpal, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, perkara itu wajib dicegah memandangkan polemik perang siber terus tersebar dan menjadi isu besar dalam masyarakat yang berdepan situasi sukar akibat penularan wabak COVID-19.

“Peranan media sosial dalam menyebarkan kerosakan sudah mencapai tahap kemungkaran besar, suatu perkara yang wajib dicegah dengan dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman yang keras.

“Sehingga ada situasi yang sampai ke peringkat boleh dijatuhkan hudud dan sekurang-kurangnya dijatuhkan hukuman takzir, khususnya kini menjadi masalah dalam situasi darurat akibat penularan wabak di seluruh pelosok dunia,” katanya dalam kenyataan Minda Presiden PAS menerusi Facebook, hari ini.Ahli Parlimen Marang itu berkata, sepatutnya teknologi dimanfaatkan untuk mengerjakan amal yang soleh, menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut sempadan Allah SWT.

“Namun, terdapat mereka yang menyalahgunakan akal dan kebolehannya pada kemungkaran dengan mudah. Malah terdapat mereka yang tidak tahu menilai kurniaan Allah SWT sehingga tidak mengambil manfaat bagi diri sendiri dan orang lain.

“Bahkan ada dalam kalangan mereka, laksana kera mendapat bunga yang indah, lalu dikoyak dan dimusnahkan dan malangnya ada juga sekelompok manusia menjadi makhluk perosak yang lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal,” katanya.

Mengulas lanjut, berdasarkan pemerhatiannya, tindakan menyebarkan berita dan maklumat yang negatif berlaku bukan sahaja dalam perkara yang bohong, salah dan nyata fitnahnya, bahkan boleh juga berlaku pada berita yang benar, apabila ia menggunakan pendekatan yang salah.

“Kita berada pada zaman kemunculan media sosial terkini dengan tersebarnya fahaman liberal yang tidak beragama atau tidak mempedulikan agama dan moral. Aliran liberal yang bergerak atas nama hak kebebasan media yang dihayati oleh masyarakat Barat sudah tenggelam dan hanyut manusiawinya.

“Mereka tidak boleh dibiarkan menjadi makhluk perosak dalam masyarakat kita yang masih mempunyai sifat agama dan mula menunjukkan keberanian dengan menghentam pihak agama dan ilmuwan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Rumah panjang terbakar, 20 keluarga hilang tempat tinggal

0

KANOWIT: Sebanyak 20 keluarga hilang tempat berteduh selepas rumah panjang mereka di rumah panjang Tuai Rumah (TR) Unau Emol di Skim Penempatan Semula Nanga Jagau Ngemah Ulu, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 9 malam, ada penghuni rumah panjang sedang berehat dan ada yang sudah tidur sebelum dikejutkan dengan asap tebal dari arah sebuah bilik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menerima panggilan berhubung kejadian dari ketua masyarakat di kawasan berkenaan pada jam 10.10 malam.

Bagaimanapun, katanya, pasukan BBP Kanowit hanya bergerak ke lokasi kejadian pada hari ini disebabkan kawasan terbabit yang terletak jauh di pedalaman dan perlu melalui jalan kawasan pembalakan.

KPN bertekad menaikkan semula reputasi PDRM

0

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, bertekad melakukan penambahbaikan terhadap setiap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengembali serta menaikkan semula reputasi pasukan itu.

Beliau berkata, usaha itu penting berikutan PDRM didapati menjadi sasaran pandangan atau kenyataan negatif oleh orang ramai sejak kebelakangan ini.

“Suatu masa dulu, setiap warga polis diangkat dan dijulang atas pelbagai jasa serta budi dicurahkan mereka. Namun sejak beberapa bulan lalu, saya melihat pasukan ini dikeji serta dicaci, dan ini adalah cabaran pertama saya.

“Saya perlu melakukan penambahbaikan terhadap setiap pegawai dan anggota dalam usaha mengembali serta menaikkan semula reputasi pasukan PDRM.

“Reputasi tidak baik bukan saja menghakis kepercayaan masyarakat tetapi juga menjatuhkan moral pegawai serta anggota yang sentiasa berdepan dengan orang ramai,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, semalam.

Malah, Acryl Sani berkata, ada segelintir pihak masih berterusan mencemuh walaupun pasukan itu menjalankan tugas penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

Tambahan pula, beliau menjelaskan, hanya segelintir petugas PDRM terbabit kes kesalahan dan pasti akan dikenakan tindakan ataupun hukuman sewajarnya.

Sambil berharap komuniti memandang polis sebagai sebahagian daripada mereka, beliau berkata, kerjasama antara PDRM dengan masyarakat adalah kunci utama kepada keselamatan, keharmonian serta keamanan di negara ini.

“Hubungan PDRM dengan orang ramai memang tidak dapat dinafikan dan sentiasa saling memerlukan. Pegawai dan anggota polis juga datang daripada sistem masyarakat. Mereka memang sentiasa berinteraksi dengan masyarakat.

“Saya memahami rakyat melihat polis sebagai satu pengharapan untuk permasalahan yang mereka hadapi supaya dapat diselesaikan.

“Justeru, setiap warga PDRM harus ada sifat empati atau berupaya memahami perasaan rakyat dalam menjalankan urusan harian. Orang awam berjumpa polis mengenai masalah daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah yang ekstrem,” katanya.

Oleh itu, Acryl Sani memaklumkan sebagai langkah peringkat pertama, Bukit Aman telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Pasukan Formasi di seluruh negara untuk mengadakan sesi pertemuan dengan masyarakat pada Sabtu setiap minggu bagi mendapatkan maklum balas atas permasalahan dihadapi.

Sumber: Berita Harian

Pengambilalihan Lapangan Terbang Subang belum diputuskan

0

KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan untuk membangunkan semula Lapangan Terbang Subang masih pada peringkat awal dan belum ada keputusan dibuat mengenainya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pertimbangan perlu dilakukan terlebih dahulu dan sebarang keputusan akan diputuskan oleh Kabinet.

Katanya, Lapangan Terbang Subang ini adalah satu lokasi kemudahan penting dan pusat bandar utama bagi penduduk Lembah Klang.

“Jadi, sudah pasti ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan landskap penerbangan negara yang lebih meluas.

“Justeru adalah menjadi kebiasaan bagi pasaran untuk mengemukakan kertas cadangan kepada pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan terdapat entiti swasta mengusulkan kepada kerajaan untuk mengambil alih dan mengoperasikan Lapangan Terbang Subang.

Dalam laporan itu, difahamkan cadangan itu sudah dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan anggaran pelaburan awal RM3.7 bilion, yang mana RM1.7 bilion akan digunakan untuk terminal penumpang dan jet eksklusif yang dijangka dibuka pada 2027.

Baki RM2 bilion akan digunakan bagi membangunkan bandar lapangan terbang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Sumber: Berita Harian

Raikan Aidilfitri secara sederhana – Tuanku Muhriz

0

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya rakyat negeri ini meraikan sambutan Aidilfitri secara sederhana berikutan suasana ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.

Baginda bertitah, kesan penularan wabak COVID-19 telah mengurangkan kegiatan ekonomi yang menjejaskan sumber pendapatan.

“Maka sambutan Hari Raya pada tahun ini seharusnya diraikan tanpa perbelanjaan besar atau mewah.

“Beta juga mengingatkan semua rakyat jangan sesekali mengabaikan penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.

“Semua ini amat penting untuk diamalkan kerana inilah cara kita dapat mengelakkan jangkitan dan memutuskan rantaian wabak itu,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Tuanku Muhriz turut menyeru rakyat agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan semua masyarakat mendapat perlindungan.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada kepemimpinan kerajaan negeri termasuk petugas kesihatan, pasukan keselamatan dan semua rakyat negeri ini dalam memerangi COVID-19, terutama mereka yang perlu bertugas ketika Aidilfitri nanti.

Baginda dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta keluarga turut mendoakan seluruh rakyat Negeri Sembilan agar sentiasa berada bawah perlindungan Allah SWT dan terus kekal aman makmur serta dijauhi daripada sebarang musibah.

Sumber: Berita Harian

PUNB bantu penganggur mulakan perniagaan

0

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi membantu Bumiputera yang kehilangan pekerjaan ekoran penularan pandemik menceburi bidang perniagaan.

Kemudahan itu ditawarkan menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan COVID-19 (SPUR).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata SPUR terbuka kepada semua individu Bumiputera berusia 18 tahun hingga 55 tahun yang hilang pekerjaan ketika penularan COVID-19 dan berhasrat untuk memulakan perniagaan atau mempunyai perniagaan yang berdaftar selepas Mac 2020.

“Kadar keuntungan yang dikenakan kepada usahawan hanya 3.5 peratus setahun berdasarkan kadar baki bulanan dan tempoh pembayaran maksimum sehingga lima tahun enam bulan.

“Penerima inisiatif ini diberikan penangguhan pembayaran selama enam bulan secara automatik dari tarikh pengeluaran dana.

“Pembiayaan SPUR ini boleh digunakan untuk modal kerja dan pembelian peralatan serta mesin bagi operasi perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Noh berkata, individu yang ditawarkan pembiayaan berkenaan berpeluang untuk mengikuti kursus dan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran, tadbir urus korporat serta pengurusan am.

Malah, beliau berkata mereka juga berpeluang untuk menyewa premis perniagaan milik PUNB dengan kadar sewa yang kompetetif.

“Menariknya, Ibra’ (rebat) sehingga 50 peratus daripada jumlah pembiayaan akan diberikan kepada pembayar pembiayaan yang baik.

“PUNB komited untuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan.

“Inisiatif SPUR ini bukan saja untuk menyediakan kemudahan dari aspek kewangan dan pembangunan keusahawanan, tetapi ingin memastikan usahawan dan perniagaan Bumiputera kekal berdaya saing serta berdaya tahan,” katanya.

Permohonan SPUR boleh dibuat secara dalam talian bermula semalam, menerusi pautan di laman portal www.punb.com.my.

Keputusan permohonan SPUR akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya dalam jangka masa 20 hari waktu bekerja selepas pembentangan rancangan perniagaan dinilai oleh juri penilai.

Sumber: Berita Harian

Lelaki maut terkena renjatan elektrik peti pencawang

0

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik peti pencawang Sarawak Energy Berhad (SEB) di tepi jalan Kampung Muara Tebas di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani yang dihubungi hari ini berkata kejadian berlaku pada jam 10.51 malam dan sepasukan polis telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan bersama-sama pasukan Bomba dan Penyelamat serta wakil SEB.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat lelaki itu berada di dalam peti pencawang elektrik dan telah meninggal dunia. Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan mayat mangsa ditemukan orang awam yang bertindak menghubungi talian kecemasan.– BERNAMA

Sumber: Berita Harian