Home Blog Page 3

Macau Scam: Tiga individu diperdaya lebih RM71,000

0

PORT DICKSON: Tiga individu di daerah ini kerugian berjumlah lebih RM71,000 selepas terpengaruh dengan iklan pinjaman wang di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata laporan dibuat tiga mangsa berbeza dalam tempoh tiga hari, bermula 27 April hingga 29 April lalu.

Katanya, ketiga-tiga mangsa itu tertipu dengan tawaran pinjaman yang diiklankan di Facebook.

“Semua mangsa mahu membuat pinjaman atas jumlah tertentu tetapi mereka diminta membayar sejumlah wang kononnya atas tujuan wang jaminan, wang proses, wang insurans, yuran guaman dan pelbagai lagi pembayaran.

“Mangsa hanya menyedari tertipu selepas masih diminta membuat pembayaran, namun wang pinjaman belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Aidi Sham berkata, semua mangsa diberikan dokumen perjanjian pinjaman konon sebagai bukti bahawa pinjaman yang dibuat adalah wujud.

“Semua mangsa juga menerima mesej yang kononnya daripada bank menyatakan pinjaman mereka sudah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa pertama seorang suri rumah berusia 28 tahun, mangsa kedua seorang pengusaha makanan berusia 38 tahun dan ketiga adalah seorang pekerja hotel berusia 34 tahun.

“Mangsa pertama mendakwa berurusan dengan suspek yang dikatakan daripada syarikat pinjaman wang berlesen untuk pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

“Tujuan utama mangsa untuk membuat pinjaman peribadi itu ialah untuk membuka perniagaan. Suspek meminta mangsa untuk membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM57,397 ke dalam enam akaun berbeza,” katanya.

Mangsa kedua pula berurusan dengan empat individu yang mendakwa sebagai ejen bank untuk pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

“Lelaki ini membuat pinjaman bagi mengembangkan perniagaan. Suspek meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM11,834.40 ke dalam tiga akaun berbeza.

“Sementara mangsa ketiga berurusan dengan dua individu untuk pinjaman peribadi sebanyak RM10,000. Suspek juga meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM1,860 ke dalam dua akaun berbeza,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

“Sepanjang April lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Port Dickson membuka lima kertas siasatan terhadap modus operandi penipuan pinjaman tidak wujud, dengan jumlah kerugian keseluruhan adalah RM80,537.40,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Najib dikompaun RM3,000

0

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikompaun RM3,000 atas dua kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kertas siasatan kes pelanggaran SOP Norma Baharu PKPB oleh Najib di Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng, Bukit Bintang, di sini, dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara hari ini dengan keputusan mengenakan kompaun.

Menurutnya, Najib dikenakan kompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan ketika memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng dan kesalahan kedua, gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.

Petugas kebersihan cetus Kluster Jalan Tunku Kota Kinabalu

0

KOTA KINABALU: Seorang petugas kebersihan yang dijangkiti COVID-19, mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, semalam iaitu Kluster Jalan Tunku Kota Kinabalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata petugas kebersihan terbabit bekerja di Pejabat Lembaga Hasil Dalam (LHDN) cawangan Kota Kinabalu.

“Kes indeks adalah wanita berusia 66 tahun yang bertugas sebagai kakitangan pembersihan di tingkat dua bangunan itu, disahkan positif hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Luyang pada 23 April lepas.

“Susulan kes itu, pasukan kawalan mengaktifkan aktiviti pengesanan kontak dan arahan ujian saringan COVID-19 juga sudah dikeluarkan.

“Setakat hari ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 10 kes merangkumi tiga kes di Kota Kinabalu, empat kes di Papar,

dua kes di Putatan dan satu kes di Penampang,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada semalam adalah sebanyak 69 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,580 kes dan tiada kes kematian direkodkan hari ini (semalam).

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 141 menjadikan jumlah kumulatif 57,387 orang.

“Seramai 638 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 225 orang di hospital dan 413 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Wanita muat naik ugutan, kata kesat di Facebook ditahan

0

PUTRAJAYA: Seorang wanita yang dipercayai memuat naik beberapa hantaran menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan ditujukan kepada petugas sekatan jalan raya di Putrajaya, ditahan malam tadi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata polis sebelum itu menerima satu laporan pada jam 10.53 pagi pagi semalam, mengenai wanita itu yang menggunakan nama “Diana Mat.”

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum laporan polis itu dibuat, beberapa tangkap layar (screenshot) hantaran oleh suspek menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis, didapati tersebar melalui media sosial.

“Pada jam 9 malam tadi, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga pemilik akaun facebook bernama “Diana Mat”, ditangkap.

‘Pihak polis merampas peranti iaitu telefon bimbit milik wanita itu, dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran di Facebooknya,” katanya dalam satu kenyataan media, pagi ini.

Mohd Fadzil berkata, wanita itu kini ditahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah; Seksyen 504 Kanun Keseksaan, mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar.

“Pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Bekas pegawai kanan ATM didenda RM70,000

0

KUALA LUMPUR: Seorang Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijatuhi hukuman denda RM70,000 selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menerima wang dan perkhidmatan berjumlah RM60,000 tanpa balasan, pada Jun tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM55,000 dan RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, terhadap Leftenan Jeneral (B) Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, 60.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara masing-masing enam dan tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang yang disita berkenaan kes itu dilucuthak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Sheikh Mokhsin sebagai seorang penjawat awam dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementerian Pertahanan, didakwa menerima perkhidmatan bernilai RM10,000 dan wang tunai berjumlah RM50,000 untuk dirinya.

Perkhidmatan dan wang itu diberikan oleh pengarah syarikat pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan, Syed Omar Syed Mohamad, 58, tanpa balasan, yang mana tertuduh mengetahui Syed Omar mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Langkawi, Kedah dan di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini, antara 21 hingga 26 Jun 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Mohd Shahrom Mohamad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan sudah insaf dan membuat pengakuan salah tanpa paksaan.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jasa anak guam yang berkhidmat selama 41 tahun dalam bidang ketenteraan yang pernah berkhidmat dalam misi United Nation Peacekeeping Operation di Iraq dan selaku Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina.

“Anak guam juga adalah sumber rezeki utama keluarga dan ketika ini, beliau masih menanggung isteri dan empat orang anaknya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Norhafizan Zakaria membantah rayuan itu dengan mengambil kira faktor kekerapan penularan jenayah rasuah dalam masyarakat.

“Mitigasi tertuduh secara keseluruhan hanya bertumpu kepada kepentingan peribadi semata-mata. Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang dapat memberi pengajaran kepada orang awam mengenai keseriusan jenayah rasuah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tak mengaku cederakan bapa dengan parang

0

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan tangan kanan dan kaki kiri bapanya menggunakan sebilah parang pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Firdaus Che Lah, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa, Che Lah Awang, 78, dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Marang, jam 9 pagi pada 1 Mei lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 2 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Kejadian berlaku ketika mangsa mengejutkan tertuduh yang sedang tidur di ruang tamu sambil memberi nasihat kepadanya supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Tertuduh yang terjaga kemudian mengambil sebilah parang lalu melibas senjata itu ke arah mangsa menyebabkan warga emas itu cedera di tangan kanan dan kaki kiri.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan komited pastikan BPR sampai ke golongan sasaran

0

PUTRAJAYA: Pengumpulan data dan pemeriksaan maklumat berterusan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan memastikan Fasa 2 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sampai kepada golongan sasaran.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BPR adalah usaha berterusan membantu kelangsungan hidup rakyat, terutama golongan rentan dan mudah terjejas, pekerja atau mereka yang bekerja sendiri, bergantung kepada upah serta hasil pendapatan harian.

“Dengan adanya data yang lebih terperinci serta semakan silang

ke atas maklumat antara agensi pelaksana inisiatif kerajaan Fasa 2 BPR sudah bermula dua hari lalu (Selasa).

“Bagi Fasa 2 BPR, sebanyak RM2.75 bilion diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 8.4 juta penerima. Pembayaran kepada penerima pula adalah di antara RM150 hingga RM600.

“Ini bermakna, jumlah keseluruhan bagi bayaran BPR setakat tahun ini adalah sebanyak RM4.68 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-52, hari ini.

Fasa 1 BPR selesai dibayar bermula 24 Februari sehingga 1 April lalu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.93 bilion, dan 8.4 juta penerima manfaat.

Tengku Zafrul berkata, bagi Skim pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga 16 April lalu, jumlah pengeluaran kumulatif adalah sebanyak RM19.60 bilion membabitkan 5.26 juta penerima.

Beliau berkata, program kedua di bawah KWSP, i-Sinar pula, pengeluaran sebanyak RM55.9 bilion diluluskan membabitkan seramai 6.29 juta pemohon sehingga 16 April 2021.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM40.4 bilion sudah pun dikreditkan.

“Namun, semua orang perlu merancang persaraan kerana ia adalah penting.

“Orang ramai disyorkan untuk menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan (RRAS) yang disediakan oleh KWSP secara percuma untuk tujuan ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi inisiatif program Subsidi Upah (PSU) 1.0 pula, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat it dengan sehingga 23 April lalu, permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai RM12.875 bilion.

Manakala, bagi PSU 2.0 pula, katanya, sehingga 23 April lalu RM1.168 bilion sudah disalurkan kepada 73,567 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 635,748 pekerja.

Sumber: Berita Harian

772 penduduk Relau jalani HSO selepas jadi kontak rapat

0

ALOR SETAR: Seramai 772 penduduk Relau di Bandar Baharu dekat sini, diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas ujian saringan COVID-19 dilakukan ke atas 1,028 penduduk di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata daripada jumlah saringan itu, seramai 211 penduduk didapati positif COVID-19 membabitkan 106 lelaki dan 105 wanita.

“Seramai 129 penduduk yang positif berusia bawah 60 tahun, manakala 72 lagi berusia lebih 60 tahun atau warga emas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan lebih 200 penduduk di pekan kecil Relau disahkan positif COVID-19 sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Kulim, selain penduduk yang menjadi kontak rapat diarah menjalani kuarantin di rumah.

Wabak berbahaya itu tercetus selepas seorang penduduk wanita yang positif COVID-19 menghadiri majlis tadarus al-Quran sebelum ia merebak kepada jemaah masjid dan ahli keluarga.

Dr Mohd Hayati berkata, seramai 12 penduduk di Lubuk Buntar, Bandar Baharu, turut disaring selepas dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif di Relau.

“Penduduk yang diarah menjalani HSO diminta tidak panik atau bimbang mengenai stok bekalan makanan kerana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Bandar Baharu akan mengagihkan makanan secara berperingkat mulai hari ini.

“Apa yang penting penduduk perlu patuh HSO bagi mengekang penularan COVID-19 kepada penduduk tempatan termasuk di kawasan berdekatan,” katanya.

Mengulas persediaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah selepas tahap penggunaan katil di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sudah mencapai 92 peratus, beliau berkata, hospital swasta akan memainkan peranan membantu merawat pesakit COVID-19 selepas ini.

“Buat masa ini, mereka yang positifCOVID-19 tahap satu dan dua biasanya akan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) seperti Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Sungai Petani serta Kulim.

“Bagi yang berada tahap tiga dan empat pula dirawat di hospital, tetapi sekarang kita minta semua orang berwaspada, ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak kes meningkat mendadak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kesedaran rakyat dapatkan vaksin percepat ekonomi pulih

0

PUTRAJAYA: Peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai kepentingan vaksinasi awal semakin meyakinkan kerajaan bahawa objektif pemulihan ekonomi akan menyusul seiring dengan pemulihan kesihatan awam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini diperkukuhkan lagi dengan sambutan ditunjukkan terhadap pendaftaran bagi rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan vaksinasi awal dengan vaksin AstraZeneca pada 2 Mei lalu.

“Sambutan amat menggalakkan dengan sesi pendaftaran untuk 268,800 dos pertama vaksin AstraZeneca selesai dalam masa tiga

setengah jam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-52, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kesemua vaksin sudah menjalani tapisan ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum penggunaannya diluluskan di Malaysia.

Oleh itu, tegasnya, rakyat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang laporan atau khabar angin yang tidak jelas kesahihannya.

“Jika terdapat sebarang kemusykilan, rujuklah laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 Kebangsaan (JKJAV) diĀ www.vaksincovid.gov.my,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga tidak mengambil mudah sebarang kemungkinan jika wujud kesan sampingan selepas pengambilan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, walaupun risiko kesan jangka panjang selepas pengambilan vaksin adalah sangat minimum, kerajaan tetap menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Tujuan dana ini, katanya, adalah bagi bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19.

“Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 ini adalah langkah proaktif kerajaan menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan atau ‘adverse effects’ daripada penggunaan vaksin.

“Peruntukan itu membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Ibu tunggal dituduh buat laporan polis palsu dakwa dirogol

0

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada polis dengan mendakwa dirogol seorang lelaki ketika menjalani kuarantin COVID-19 di sebuah pusat kuarantin di Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun, Siti Nashurah Mat Daud, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut kertas pertuduhan, Siti Nashurah dituduh memberi maklumat palsu kepada anggota polis dengan mendakwa dirinya dirogol seorang lelaki berusia 34 tahun, dengan niat supaya tindakan diambil terhadap individu itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Balai Polis Pengkalan Chepa, jam 5.58 petang 1 Mei lalu, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

Sharifah Amirda Shasha memohon ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Namun, Nik Nazriani memohon supaya anak guamnya itu dikenakan ikat jamin minimum berikutan tertuduh adalah ibu tunggal dan perlu menyara tiga anak.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, dan tarikh 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian