Bomba selamatkan lelaki terjun perigi

0
225

MACHANG: Anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki yang terjun ke dalam perigi dipercayai untuk membunuh diri, di Kampung Hutan Rebana, di sini, malam tadi.

Terdahulu, lelaki berusia 43 tahun dipercayai mengalami masalah mental itu dikatakan membakar diri sehingga melecur pada beberapa anggota badannya.

Mangsa kemudian terjun ke dalam perigi sedalam tiga meter sebelum kejadian itu disedari ahli keluarganya dan menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.31 malam.

Susulan itu, beliau berkata, enam anggota bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Setiba di lokasi, mangsa didapati berada di dalam perigi dan bertindak agresif serta enggan memberi kerjasama sebelum anggota cuba memujuknya.

“Apabila anggota mendekati dan cuba menyelamatkannya, mangsa melawan serta sedikit meronta.

“Bagaimanapun selepas 45 minit, mangsa dilihat keletihan dan akhirnya berjaya dikeluarkan dari perigi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here