Bursa Malaysia sekali lagi rekod jumlah dagangan tertinggi dalam sejarah

0
55

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia sekali lagi mencatat jumlah dagangan tertinggi hari ini dengan 12.49 bilion saham bernilai RM6.64 bilion didagangkan, berikutan penurunan membabitkan kaunter saham wajaran tinggi selepas mengalami momentum peningkatan pada minggu lalu.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang terdiri daripada 30 kaunter, menyaksikan hampir dua pertiga daripadanya mengalami penurunan dengan majoriti saham kewangan yang paling ketara.

Pada jam 5 petang, FBM KLCI susut 8.10 mata kepada 1,588.23 berbanding 1,596.33 yang ditutup pada Jumaat lalu.

Pasaran dibuka menokok 11.02 mata kepada 1,607.02 yang melepasi paras rintangan segera pada 1,600 namun susut pada tengah hari akibat dagangan yang tidak menentu.

Malah, pasaran itu secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 592 berbanding 506 manakala 399 kaunter tidak berubah, 475 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 8 Julai lalu apabila 11.8 bilion saham didagangkan.

Mengulas perkembangan itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pasaran ekuiti tempatan kini mengalami penurunan akibat kekurangan pemangkin di peringkat domestik.

“Walaupun Hartalega dan Top Glove kekal meraih kenaikan yang ketara, namun saham lain terus diasak tekanan terutamanya saham kewangan,” katanya.

Kaunter saham perbankan seperti Public Bank, Maybank, CIMB, RHB dan Hong Leong Financial terbukti berada dalam wilayah negatif hari ini.

Public Bank misalnya rugi 64 sen kepada RM17.64, Maybank merosot 12 sen kepada RM7.82, CIMB turun lapan sen kepada RM3.53, RHB susut tujuh sen kepada RM5.00 dan Hong Leong Financial kehilangan 12 sen kepada RM13.82.

Di peringkat serantau, Adam berkata, pasaran ekuiti kekal berhati-hati terhadap perkembangan COVID-19.

Malah, ekuiti itu mencatat untung lebih rendah ketika pelabur sebaliknya memilih untuk menunggu hasil daripada Sidang Kemuncak Pemimpin Kesatuan Eropah ketika ini yang membincangkan pandemik global berkenaan.

Di peringkat tempatan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan rakyat Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya gelombang baharu jangkitan COVID-19 berikutan kewujudan 13 kluster baharu.

Di sebalik penurunan bursa tempatan, kaunter saham pengeluar sarung tangan terus terbukti berdaya tahan apabila menguasai kaunter paling untung dengan Top Glove menokok RM1.84 kepada RM24.82, Kossan meraih 80 sen kepada RM14.30, Supermax memperoleh 70 sen kepada RM18.40 manakala Hartalega naik 36 sen kepada RM17.46.

Bagi saham paling aktif, kaunter teknologi terus mendominasi dengan Lambo dan NETX masing-masing naik setengah sen kepada 4.5 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 17.77 mata kepada 11,254.68 dan Indeks FBMT 100 merosot 17.51 ​​mata kepada 11,112.70 manakala Indeks FBM Emas Syariah melonjak 65.93 mata kepada 13,065.22.

FBM 70 pula meningkat 98.96 mata kepada 14,151.70 dan FBM ACE susut 45.35 mata kepada 7,445.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 192.95 mata kepada 13,384.49, Indeks Perladangan meningkat 63.16 mata kepada 7.031.98 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.43 satu mata pada 138.25.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.53 bilion unit bernilai RM5.29 bilion berbanding 3.87 bilion unit bernilai RM4.89 bilion pada Jumaat lalu.

Waran meningkat kepada 946.17 juta saham bernilai RM501.74 juta daripada 693.55 juta saham bernilai RM328.29 juta pada Jumaat lalu.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak 7.01 bilion saham bernilai RM848.90 juta berbanding 4.93 bilion unit bernilai RM634.19 juta sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 663.43 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (1.22 bilion), pembinaan (293.39 juta), teknologi (366.59 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.19 juta), hartanah (627.56 juta), perladangan (256.09 juta), REIT (58.07 juta), dana tertutup (97.100), tenaga (524.95 juta), penjagaan kesihatan (174.07 juta), telekomunikasi dan media (59.78 juta), pengangkutan dan logistik (221.59 juta) serta utiliti (58.44 juta).

– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here