COVID-19: 771 pulang dari luar negara, hanya seorang positif

0
32

PUTRAJAYA: Hanya seorang daripada 771 rakyat Malaysia yang pulang dari pelbagai destinasi luar negara dikesan positif COVID-19 dalam saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 770 yang lain diperintahkan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Beliau berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu pulang ke tanah air melalui KLIA dan klia2 dari Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan, Thailand, Qatar, Australia dan Korea Selatan.

“Dari 10 Jun sehingga 4 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah membuat saringan terhadap 11,049 individu di pintu masuk KLIA.

“Daripada jumlah ini, seramai 11,001 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“Seramai 48 individu didapati positif dan sudah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mendapati semua yang terbabit kuarantin di rumah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menerusi 803 pemantauan pematuhan yang dijalankan.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here