COVID-19: Gelombang kedua landa Sarawak

0
72

PETRA JAYA: Kes positif COVID-19 di Sarawak kembali mencecah dua angka apabila 10 kes baharu direkodkan hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata angka itu menjelaskan gelombang kedua pandemik COVID-19 mula melanda negeri ini.

Beliau berkata, enam daripada kes baharu hari ini dilaporkan di Kuching dan masing-masing dua di Samarahan serta Bintulu.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak kini meningkat sebanyak 594 kes.

“Kluster baharu juga dikesan iaitu Kluster Kapal LNG Jupiter berikutan pertambahan dua kes pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang membabitkan kluster ini ialah seramai tiga orang daripada keseluruhan 30 orang kru kapal yang disaring.

“Kes positif bukan warganegara itu adalah kontak rapat kepada kes positif yang sudah dikesan pada 13 Julai lalu di atas kapal LNG Jupiter,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Uggah berkata, empat kes positif warganegara balik dari luar negara pula dikesan kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari iaitu masing-masing dua di Kuching dan Samarahan.

“Kesemua kes ini dikategorikan sebagai kes import yang membabitkan warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kes positif hari ini membabitkan seorang wanita warga emas yang mengalami Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Kuching.

“Kes ini adalah jangkitan tempatan kerana tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara,” katanya.

Katanya lagi, satu lagi kes positif membabitkan seorang pekerja kesihatan hari ini adalah kontak rakan tempat kerja kepada kes Ke-582 yang dikesan pada 15 Julai 2020.

“Kes tidak menunjukkan sebarang gejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Ia juga adalah jangkitan tempatan kerana tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara.

“Dua lagi kes positif hari ini membabitkan warga tempatan yang membuat saringan kendiri di hospital swasta dan punca jangkitan untuk kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu Uggah berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Kesihatan Sarawak Isnin ini bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kelengkapan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

“Berikutan situasi terkini kes yang meningkat semula, kita mahu memastikan PPE mencukupi untuk petugas barisan hadapan,” katanya.

Sumber:Berita harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here