COVID-19: Guna sarung tangan pakai buang kurang praktikal

0
123

KUALA LUMPUR: Penggunaan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan yang mengunjungi kedai pakaian dilihat kurang praktikal.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata walaupun perkara itu inisiatif yang baik seperti yang terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun penggunaan cecair pembasmi kuman sudah memadai.

“Tidak dinafikan, ia adalah inisiatif yang baik, namun bagi saya penggunaan cecair pembasmi kuman sudah mencukupi kerana perkara asasnya ialah kita tidak mahu tangan menyentuh bahagian muka.

“Jika guna sarung tangan, tetapi kerap menyentuh muka, kebarangkalian dijangkiti virus itu (COVID-19) tetap ada,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Yahya berkata, penggunaan sarung tangan tidak menjadi isu utama, sebaliknya tingkah laku individu itu sendiri memastikan tangannya sentiasa bersih dan kerap dicuci menggunakan cecair pembasmi kuman.

Sementara itu, pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar turut berkongsi pandangan sama dan menjelaskan, kebimbangan utama penularan wabak itu menerusi rembesan dan titisan di udara.

“Dalam tempoh 10 bulan ini, kita mempelajari virus ini tidak boleh hidup lama di permukaan, sebaliknya virus ini tersebar melalui rembesan yang terapung di udara.

“Tidak ada bukti transmisi boleh berlaku melalui permukaan (barangan). Bagi saya apa yang penting sejak hampir semua sektor dibenarkan beroperasi semula adalah kepatuhan SOP itu sendiri,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan membenarkan keseluruhan baki perniagaan dalam sektor peruncitan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bagi kedai pakaian, pemilik premis perlu menyediakan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here