COVID-19: Johor catat 841 kes pulih

0
30

JOHOR BAHRU: Sebanyak 841 kes COVID-19 pulih daripada jumlah keseluruhan iaitu 921 yang dilaporkan, sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan itu turut merangkumi 21 kematian dan 59 kes COVID-19 yang

aktif dan sudah pun diasingkan serta diberi rawatan.

Katanya, semalam, terdapat dua kes baharu yang dilaporkan bagi negeri ini iaitu satu kes dikesan daripada kes SARI dan satu lagi hasil saringan kontak rapat.

“Jumlah kluster aktif di Johor kekal sebanyak empat iaitu Kluster Meldrum (tujuh), Kluster Bayu (lapan), Kluster Kempas (54) dan Kluster Rinting (10). Tiada pertambahan kes bagi kluster aktif.

“Isnin lalu, Menteri Kanan Pertahanan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kepada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, yang terbabit dengan Kluster Kempas.

“Sehingga semalam, kumulatif kes positif bagi kluster ini kekal sebanyak 54 kes. Jumlah penghuni yang disaring setakat ini adalah sebanyak 1,291, manakala terdapat 512 orang di luar ILKKMJB yang sudah disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan sedang giat meneruskan aktiviti survelans sedia ada selain aktiviti saringan kontak kluster sedia ada, justeru dijangkakan akan berlaku peningkatan kes dalam tempoh terdekat ini.

“Diharapkan semua pihak dapat bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang kurang tepat.

“Beri laluan kepada jabatan yang berkaitan untuk melakukan tugas,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here