COVID-19: KPT diminta sedia bantuan peranti, pelan data untuk mahasiswa memerlukan

0
35

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta supaya mempertimbangkan penyediaan bantuan peranti dan pelan data bagi mahasiswa yang memerlukan.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata ini kerana pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) masih perlu menjalani sesi pembelajaran dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Malah, katanya, MPPK menerima laporan daripada IPT seluruh negara mengenai masalah dihadapi pelajar masing-masing.

Beliau berkata, ada mahasiswa menghadapi masalah kewangan bagi melanggan Internet serta menampung penggunaan data Internet yang tinggi untuk mengikuti kuliah video.

“Mereka perlu melanggan pelan Internet kerana masih berada di rumah dan tidak dapat menggunakan kemudahan Internet di kampus. Ini berikutan ada mahasiswa yang masih belum dibenarkan pulang ke kampus.

“MPPK juga menerima laporan bahawa sesetengah mahasiswa masih tidak memiliki peranti penting seperti komputer riba untuk digunakan ketika sesi pembelajaran dalam talian, terutama golongan B40.

“Kebanyakan mahasiswa itu adalah mereka yang baru mendaftar memasuki IPT pada awal bulan ini. Ada juga sebahagian mahasiswa menggunakan komputer riba yang lama dan kurang sesuai dengan perisian serta teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Muhammad Amir Asyraf menjelaskan, MPPK melihat situasi pandemik COVID-19 yang belum ada tanda akan pulih sepenuhnya dalam tempoh singkat, sebagai amat membimbangkan.

Justeru, beliau berkata, MPPK memohon KPT membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi mahasiswa itu dengan mewujudkan inisiatif bersesuaian.

“Ini kerana pandemik COVID-19 memang memberi kesan besar kepada mahasiswa, terutama mereka daripada isi rumah yang berpendapatan rendah ataupun hilang pekerjaan akibat penularan wabak itu.

“MPPK percaya jika inisiatif ini diwujudkan KPT, ia dapat memberi manfaat kepada ramai mahasiswa di IPT yang turut terkesan dengan pandemik itu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here