COVID-19: Lelaki pakai gelang merah jambu ditahan di pasar raya

0
149

 

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang memakai gelang kuarantin COVID-19 berwarna merah jambu selepas dikesan membeli-belah di sebuah pasar raya, di sini, malam tadi.

Lelaki cacat pendengaran berusia 43 tahun itu ditahan susulan beberapa pengunjung pasar raya itu berasa curiga dengan statusnya apabila melihat keadaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota bergegas ke pasar raya terbabit dan menemui lelaki itu bersama isterinya.

“Wanita berusia 34 tahun terbabit mengaku adalah isteri suspek dan memaklumkan suaminya cacat pendengaran serta memiliki kad OKU.

“Hasil pemeriksaan, lelaki itu didapati masih memakai gelang tangan berwarna merah jambu yang mana tempoh kuarantin adalah dari 30 September lalu hingga 15 Oktober depan.

“Suspek juga gagal mengemukakan surat pelepasan perintah kuarantin Kementerian Kesihatan dan didapati belum melakukan saringan kedua COVID-19.

“Susulan itu, suspek dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Peraturan 11(1) akta yang sama.

“Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis hingga tamat tempoh kuarantin di rumah.

“Pihak polis akan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

 

SUMBER : BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here