COVID-19: Perhimpunan, aktiviti awam perlu ditangguh walau PKP tamat

0
45

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu mengikuti saranan Kementerian Kesihatan yang tidak menggalakkan perhimpunan besar atau aktiviti perkumpulan diadakan walaupun selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar psikologi dan sosial, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din menjelaskan antara kawasan yang perlu diberi perhatian terhadap larangan itu ialah kawasan yang mempunyai sejarah PKP Diperketatkan (PKPD) atau dikenal pasti sebagai kawasan zon merah.

“Rakyat perlu akur dengan nasihat Kementerian Kesihatan ini kerana dalam tempoh selepas PKP berakhir, mungkin wabak berkenaan masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

“Majlis atau program keramaian, perhimpunan atau bazar Ramadan memang perlu dielakkan atau dilarang diadakan dalam tempoh setahun terutama di tempat yang ada rekod PKPD dan zon merah.

“Rakyat perlu terima saranan Kementerian Kesiahtan ini supaya wabak berkenaan benar-benar dapat dikawal sepenuhnya,” katanya kepada BH, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, perhimpunan ramai seperti bazar Ramadan perlu dielak walaupun tempoh PKP tamat. Walaupun tempoh PKP berakhir, norma dan amalan kehidupan rakyat Malaysia perlu berubah dan perhimpunan ramai tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Mohamed Fadzil yang juga pensyarah di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) percaya, saranan Kementerian Kesihatan itu mempunyai asas yang kukuh kerana mereka arif dengan tabiat dan cara hidup rakyat serta kawalan kesihatan.

“Barangkali bila diadakan perhimpunan seperti bazar Ramadan, kenduri atau aktiviti membabitkan ramai orang, wabak berkenaan boleh merebak kembali.

“Kementerian Kesihatan tahu tabiat dan cara hidup rakyat kita, sebab itu mereka seru supaya tidak diadakan perhimpunan atau aktiviti orang ramai,” katanya.

Beliau percaya, kawalan kebebasan yang berterusan penting walaupun selepas PKP berakhir kerana ia mampu mengubah pemikiran masyarakat supaya mengutamakan aspek kebersihan dan kesihatan dalam setiap aspek kehidupan.

Katanya, tempoh enam bulan hingga setahun wajar dimanfaatkan masyarakat untuk mengubah gaya hidup mereka terutama dalam aspek penjagaan kesihatan awam.

Sumber- Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here